
SARIKEI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony mencipta satu lagi sejarah apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.69 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus menjadi pencapaian terbaik sekolah itu setakat ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen dan dedikasi tinggi warga sekolah dalam melahirkan pelajar yang cemerlang.
Katanya, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan sekolah, malah menjadi bukti bahawa usaha gigih guru, pelajar dan ibu bapa telah membuahkan hasil yang amat membanggakan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh warga pendidik SMK St Anthony atas pencapaian SPM yang konsisten dan membanggakan dari tahun ke tahun.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini yang telah mencatat rekod baharu GPS 2.69 pada 2025.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti nyata bahawa usaha keras seluruh warga sekolah telah membuahkan hasil yang luar biasa,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Guru dan Hari Gawai 2026, di SMK St Anthony, semalam.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, kecemerlangan yang dicapai itu tidak dapat dipisahkan daripada pengorbanan dan komitmen para guru yang sentiasa berusaha memastikan pelajar menerima pendidikan terbaik.

Tambahnya, guru bukan sekadar penyampai ilmu, malah merupakan pembina sahsiah, pencetus inspirasi dan pembentuk masa depan negara.
“Di sebalik setiap kejayaan seorang pelajar, pasti ada seorang guru yang memainkan peranan penting dalam perjalanan hidupnya.
“Guru ialah penjaga harapan generasi masa depan. Di sebalik kecemerlangan yang dicapai oleh para pelajar, tersembunyi pengorbanan besar para guru yang sanggup meluangkan masa, tenaga dan perhatian tanpa mengira penat lelah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memajukan sektor pendidikan di Sarawak.
Katanya, pelbagai inisiatif strategik telah diperkenalkan bagi memastikan anak-anak Sarawak menikmati akses kepada pendidikan berkualiti, kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan peluang yang lebih luas untuk mengembangkan potensi diri.
Beliau turut mendedahkan bahawa sejak 2020, sebanyak RM1.37 juta telah diperuntukkan kepada SMK St Anthony bagi mempertingkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran sekolah tersebut.
“Peruntukan ini bukan sekadar nombor, ini bukti komitmen kami terhadap kecemerlangan sekolah ini, bagi memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan memenuhi keperluan pendidikan masa kini.
“Kami percaya bahawa persekitaran yang baik adalah asas kepada pencapaian yang gemilang,” katanya lagi.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Anthony bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program pendidikan sekolah tersebut.
Oleh Earl Anek