MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam Miri mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah The Best Innovator INSIDE, The Best Innovator (Kategori Sekolah Menengah), Anugerah Platinum dan Anugerah Emas di International Summit On Innovation And Design Exposition (InSIDE) 2020, baru-baru ini.
Sekolah yang diwakili pasukan Riam Xplug dan TBorneo telah memenangi Pingat Emas dan Pingat Platinum dalam pertandingan bertaraf antarabangsa tersebut yang dianjurkan oleh Universiti Malaya.
Selain itu, ia turut disertai kira-kira 350 pasukan yang terdiri daripada peserta sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti, guru, pensyarah, agensi kerajaan dan juga swasta yang mana bersaing antara satu sama lain untuk merebut anugerah pingat Platinum, Emas, Perak dan Gangsa serta Anugerah Khas untuk rekacipta dan inovasi.
Pengetua SMK Riam, Normah Abd Latiff berkata, bahawa berasa sangat gembira kerana pasukan TBorneo yang diwakili oleh pelajar Tingkatan 1 iaitu Chai Kah En, Brenda Benya Henry Tukang, Daniel Larry Kalang dan Sally Owenna Rangga telah berjaya memenangi Anugerah Emas.
“Walaupun ini julung kali mereka menyertai pertandingan inovasi atas talian ekoran kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari, namun saya amat bangga kerana usaha dan kerjasama mereka membuahkan hasil.
“Sementara itu, lima orang pelajar Tingkatan 5 iaitu Magdalena Suling Jalong, Barthez Balare Bartholomew, Debie Bangka, May Lija Henry Tukang dan Kuan Boon Ho turut mencipta kejayaan yang berlipat ganda dengan menggondol Anugerah Platinum, The Best Innovator Kategori Sekolah Menengah dan sekaligus membolot gelaran Johan The Best Innovator InSIDE 2020 dengan keunikan produk inovasi yang dikenali sebagai Riam Xplug 2.0,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Manakala menurut guru pembimbing, Law Sie Siek, fungsi RiamXplug 2.0 adalah untuk memberikan peringatan kepada pengguna agar menanggalkan palam alat elektrik mereka menerusi aplikasi telefon pintar sebelum memutuskan arus elektrik secara automatik.
“Inovasi ini dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan mengurangkan penggunaan elektrik sekali gus mengurangkan masalah kesan rumah hijau yang semakin serius,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak sekolah turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha dan memberi kerjasama kepada mereka sehingga membuahkan kejayaan yang cemerlang termasuk kepada Yayasan Petronas, Wakil-wakil Rakyat di Miri, Sarawak Multimedia Authority, Pengarah Pendidikan Bahagian Miri, agensi-agensi swasta dan pihak sekolah SMK Riam.
Oleh Zarina Abdullah