LAWAS: Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong menyalurkan peruntukan tambahan untuk membantu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas.
Henry Sum ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa peruntukan tambahan dalam bentuk geran Projek Kecil Luar Bandar akan disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lawas dalam masa terdekat.
“Ini sesuatu yang menyedihkan kita kerana SMK Lawas adalah sekolah paling lama di daerah ini dan telah melahirkan ramai pemimpin.
“Jadi kita akan bantu dengan dana tambahan yang akan disalurkan melalui tabung PIBG untuk pihak sekolah gunakan bagi membeli alatan penting,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, pagi tadi.
Selain itu, Henry Sum juga menyarankan pihak bertanggungjawab di Lawas untuk memastikan pelaksanaan pembinaan sekolah baharu SMK Lawas 2 dapat disempurnakan dengan kadar segera.
Jelasnya, keadaan struktur bangunan kelas di SMK Lawas yang uzur dan ada bangunan, terdedah dengan ancaman lain seperti tanah runtuh.
“Kita minta pihak Pejabat Pendidikan bersama Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dapat memastikan projek pembinaan SMK Lawas 2 dapat dipercepatkan kerana kita difahamkan projek ini mengalami kelewatan,” ujarnya.
Henry Sum memaklumkan bahawa beliau akan melawat ke SMK Lawas sebaik selesai sesi perbahasan pembentangan Belanjawan 2025 pada penghujung minggu ini.
“Sama-sama nanti kita melihat ke SMK Lawas untuk memastikan keperluan segera pihak sekolah dapat kita bantu.
“Tumpuan kita ialah anak-anak yang akan menduduk peperiksaan SPM yang perlu kita pastikan tidak terjejas aktiviti pembelajaran mereka,” tambahnya.
SMK Lawas mempunyai ribuan pelajar harian dan terletak di kawasan berbukit di bandar Lawas.
Pada awal 1962 Jabatan Pelajaran Sarawak telah berhasrat untuk membina sebuah sekolah menengah di daerah Lawas.
Satu tapak tanah kerajaan telah diperuntukan untuk tujuan ini, yang kini merupakan tapak SMK Lawas.
Oleh Adeng Edrus