MIRI: Seramai 1,541 pelajar di tiga sekolah di sini mendapat manfaat pemeriksaan kesihatan mata secara percuma menerusi inisiatif Pusat Khidmat Parlimen Miri.
Program edisi kedua itu melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Riam Batu 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luak dan SK South.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses mudah kepada pemeriksaan serta penjagaan kesihatan mata.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, program yang berlangsung di SK Riam Batu 2, 23 September lalu memberi manfaat kepada lebih 420 pelajar.
“Selain SK Riam Batu 2, program ini turut diadakan di SMK Luak yang melibatkan 676 pelajar dan SK South seramai 445 pelajar.
“Secara keseluruhannya, seramai 1,541 pelajar telah mendapat manfaat daripada edisi kedua program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelajar yang dikenal pasti memerlukan cermin mata selepas pemeriksaan akan diberikan ukuran serta pemasangan cermin mata secara percuma.
Katanya, penglihatan yang sihat dan jelas merupakan aspek penting dalam pendidikan kerana ia membantu pelajar meningkatkan tumpuan serta penyertaan dalam proses pembelajaran.
“Melalui inisiatif ini, saya membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan mata yang diperlukan terus kepada para pelajar supaya keluarga mereka tidak perlu mendapatkan perkhidmatan tersebut sendiri.
“Penglihatan yang jelas merupakan salah satu faktor utama dalam memastikan golongan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang terbaik dan kondusif untuk mereka belajar serta berkembang,” katanya.
Sebelum ini, program sama turut dilaksanakan di SK Kuala Baram 2, SMK Pujut dan SK Senadin.
Chiew berkata, beliau komited untuk meneruskan inisiatif berkenaan bagi menyediakan akses penjagaan kesihatan mata yang lebih mudah kepada pelajar, selaras dengan kepentingan memastikan setiap pelajar mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.
Beliau berkata, Pusat Khidmat Parlimen Miri akan terus melaksanakan program seumpama itu bagi menyokong kesejahteraan dan pendidikan pelajar di Miri.
Oleh Liong Chai Ling




