KANOWIT: Seramai 451 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit diraikan dalam Majlis Apresiasi dan Graduasi yang penuh bermakna, hari ini.
Pengetua SMK Kanowit, Jarit Jarmit, berkata daripada jumlah tersebut, 150 pelajar berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Katanya, ini termasuk 65 peratus kejayaan pelajar Peralihan hingga Tingkatan Tiga, gred purata 4.00 bagi pelajar Tingkatan Empat hingga Lima, serta Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 bagi pelajar Tingkatan Enam.
“Majlis ini juga menyaksikan seramai 53 pelajar Tingkatan Enam menerima sijil graduasi sebagai simbol tamat pengajian di peringkat Pra Universiti. Kami berharap mereka akan terus menuntut ilmu di peringkat universiti,” katanya pada majlis tersebut yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, katanya, prestasi akademik SMK Kanowit terus menunjukkan perkembangan positif, dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) yang meningkat daripada 4.36 kepada 4.16.
“Kadar kelulusan turut meningkat dengan 99.50 peratus pelajar layak menerima sijil, berbanding 98.02 peratus tahun sebelumnya.
“Pencapaian cemerlang ini turut dimeriahkan dengan kejayaan 38 pelajar yang memperoleh minimum 5A, dan enam pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dengan semua A,” ujarnya.
Di samping kejayaan akademik, katanya, pelajar SMK Kanowit juga tidak ketinggalan dalam bidang kokurikulum, dengan dua wakil sekolah berjaya menyertai Sukan Malaysia (SUKMA), dan salah seorang daripadanya meraih Naib Johan dalam acara Wushu, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa yang anak-anak mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum, dan sahsiah.
“Hasil kerjasama erat antara ibu bapa, pihak sekolah, dan pengurusan, SMK Kanowit terus mencatat peningkatan dalam pelbagai aspek,” tambahnya.
Jarit turut menzahirkan penghargaan kepada ADUN Machan atas sokongan yang diberikan, terutamanya dalam penambahbaikan prasarana sekolah, termasuk sumbangan RM50,000 untuk membaik pulih kerosakan bilik darjah, dinding, cermin tingkap, dan siling di blok kelas.
Turut hadir penolong pegawai pendidikan Daerah Kanowit sektor pembelajaran, Hipnie Pile.