KENANGAN … Datuk Julaihi Narawi mewakili Premier Sarawak bergambar bersama tetamu kehormat yang
lain pada Majlis Pelancaran Projek SMART di Rumah Empawi, Sekukut, Ulu Yong, Kapit, semalam.
KAPIT: Projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) menjadi pemangkin realisasi usaha pendigitalan di kawasan luar bandar seluruh negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi digital merupakan sektor baharu untuk rakyat Sarawak dibangunkan bagi mencapai status wilayah maju menjelang 2030.
“Kita merakamkan terima kasih kepada Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) di atas usaha mewujudkan projek SMART ini.
“Dengan adanya kesalinghubungan yang baik, ianya dapat merapatkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar. Oleh itu, projek seperti SMART memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi semasa Majlis Pelancaran Projek SMART di Rumah Empawi, Sekukut, Ulu Yong, semalam.
Dengan adanya SMART, katanya, akses kepada pendidikan berkualiti tinggi sepanjang masa akan meningkatkan tahap literasi tetapi juga turut membuka pandangan baharu dan peluang kepada pelajar dan guru di kawasan pedalaman.
“Menerusi SMART, rakyat Sarawak di kawasan pedalaman dapat mencipta kekayaan, meningkatkan kemahiran digital serta mendapat akses kepada pengetahuan. Internet berkelajuan membuka peluang baru kepada warga Kapit khususnya di Nanga Sekukut Ulu Yong ini.
“Masa depan kita akan berkembang maju sebagai sebuah komuniti celik digital yang didorong oleh data dan inovasi.
“Internet juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar di Sarawak mendapatkan platform untuk mengembangkan sosioekonomi dan membina pangkalan perusahaan kecil dan sederhana yang kuat dengan menjalinkan pertalian baharu pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa,” ujarnya.
Premier Sarawak, optimis dengan menghubungkan komuniti pertanian di Sarawak secara digital serta mengadaptasi teknologi pertanian pintar dalam aktiviti pertanian.
“Sarawak berada di landasan yang betul untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030,” ujarnya lagi.