
Slot diraikan pemain selepas Liverpool dinobatkan juara EPL musim ini. - Foto AFP
LIVERPOOL, England: Arne Slot mengucapkan terima kasih kepada bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kerana legasi ditinggalkannya di kelab itu ketika beliau meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim sulungnya di Anfield.
Liverpool muncul juara Inggeris selepas membelasah Tottenham 5-1 lewat malam tadi, dengan pencabar terdekat Arsenal kini tidak mampu untuk mengejar mereka.
Bekas pengurus Feyenoord, Slot menyaksikan penonton mendendangkan lagu “Life Is Life” nyanyian Opus pada 1984, namun menggantikan lirik “Arne Slot” dengan “Jurgen Klopp.”
Klopp menyanyikan nama Slot kepada peminat The Kop pada perlawanan terakhirnya di Anfield.
Slot memuji warga Jerman itu, yang memenangi Liga Juara-Juara dan EPL antara trofi diraihnya ketika sembilan tahun di Anfield kerana meninggalkannya satu platform mantap untuk terus dibina.
“Saya fikir ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana pengurus sebelum ini. Jadi ia benar-benar membantu saya,” katanya.
“Namun selain daripada itu, beliau lebih banyak membantu saya dengan pasukan yang ditinggalkannya dan budaya yang ditinggalkannya dalam pasukan itu.
“Kualiti pemain yang dimilikinya, saya fikir jelas buat setiap orang. Namun budaya kerja keras, budaya bukan hanya daripada pemain, tetapi juga daripada anggota staf, amat luar biasa.
“Ini salah satu alasan kenapa kami boleh meraih apa yang kami capai musim ini.”
Slot berkata, kejayaan EPL – yang menyaksikan Liverpool menyamakan rekod 20 kejuaraan liga utama Inggeris dengan Manchester United – dirasakan seperti “satu mimpi.”
Warga Belanda itu berkata, beliau tenang sepanjang hari kecuali sejak turun dari bas pasukan setibanya di Anfield apabila disambut dengan sorakan gamat beribu-ribu peminat.
“Satu-satunya masa saya berasa emosi hari ini adalah apabila kami tiba di stadium, untuk melihat apa maknanya buat penyokong, apa maknanya buat mereka ini,” katanya.
“Bagi kami untuk berpeluang memenanginya ia berasa terlalu istimewa, tetapi sejurus selepas itu ia berasa, kami masih perlu melakukannya.
“Tetapi saya fikir setiap orang dalam bas itu berasa, jika penyokong memberikan sokongan sebegitu, maka mustahil buat kami untuk kalah perlawanan ini.
“Kemudian ketika perlawanan, selepas perlawanan, ia luar biasa bagaimana peminat memberikan sokongan dan bagaimana pemain kami beraksi. Ia istimewa untuk menjadi sebahagian daripada hari ini.” – AFP