BEKENU: Skuad Kasih Sayang (SKS) Bekenu turun padang menyantuni rakyat dalam usaha menjaga kebajikan masyarakat luar bandar agar tidak tercicir pelbagai bantuan yang di salurkan oleh Kerajaan Sarawak.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada Program SKS di Kampung Bulau di sini, semalam.
Katanya, SKS ini merupakan satu kumpulan wanita yang aktif dalam menjaga kebajikan masyarakat di luar bandar di kampung dan rumah panjang kawasan Bekenu.
“Program hari ini (semalam), kita mengadakan melawat enam buah keluarga yang mengalami kesusahan termasuk warga emas yang perlu mendapat perhatian dan bantuan.
“Turun padang kali ini dibantu oleh KK Amin Antin Kampung Bulau dengan memberi maklumat awal kepada SKS tentang beberapa keluarga di kawasannya dan diajukan kepada saya”, jelasnya.
Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, lawatan ini kita menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan dan wang.
Katanya, di program ini, SKS yang diketuai oleh Simunjan Serit dan kumpulannya turut membantu untuk kes permohonan kebajikan warga emas dan kepada yang berhak dibantu.
Selain itu, keluarga yang mengalami kediaman yang rosak turut dibantu untuk permohonan baikpulih rumah, Kenyalang Gold Card (KGC) dan sebagainya.
Turut hadir, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Bekenu, Kaunselor Khadijah Sheikh Kassim.
Oleh Adum Liu