
KUCHING: Penemuan sebatang skru dalam hidangan sup cendawan di sebuah restoran makanan barat di sini mencetuskan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan makanan dan kebersihan premis makanan.
Menurut Pertubuhan Pengguna Sarawak, insiden itu melibatkan seorang pengguna bersama anak perempuannya yang menemui objek asing tersebut ketika sedang menikmati hidangan berkenaan.
Mangsa dilaporkan secara tidak sengaja memasukkan objek tersebut ke dalam mulut sebelum menyedari kejanggalan dan berjaya memuntahkannya, sekali gus mengelakkan ia daripada ditelan.
Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, kejadian itu telah menyebabkan kejutan dan tekanan emosi kepada mangsa, yang kemudiannya mendapatkan pemeriksaan di hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Kedua-dua individu berkenaan kini sedang menunggu laporan perubatan bagi memastikan tiada kesan buruk terhadap kesihatan mereka, termasuk risiko jangkitan penyakit seperti leptospirosis.
Perniagaan terlibat dilaporkan telah menanggung kos rawatan perubatan mangsa, namun Pertubuhan Pengguna Sarawak menegaskan bahawa tindakan susulan itu tidak menghapuskan isu asas berkaitan keselamatan makanan.
Presidennya, Dr. Wynson Ong berkata, keselamatan makanan bukan satu pilihan tetapi satu tanggungjawab yang wajib dipatuhi oleh setiap pengusaha makanan.
“Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan mencerminkan kelemahan serius dalam kawalan kualiti serta pemantauan operasi.
“Pihak kami memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi dalam melindungi hak serta keselamatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Pertubuhan Pengguna Sarawak telah campur tangan secara rasmi dan akan terus membantu mangsa, selain menuntut penjelasan menyeluruh daripada pihak perniagaan termasuk punca kejadian serta langkah penambahbaikan.
Dalam masa sama, semua pengusaha makanan dan minuman digesa supaya memperketat pengurusan kebersihan dapur serta menjalankan pemeriksaan berkala terhadap peralatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Pihak berkenaan turut menegaskan bahawa keselamatan pengguna tidak boleh dipandang ringan kerana kecuaian kecil boleh membawa kepada implikasi serius terhadap kesihatan awam.