
LAWAS: Perkhidmatan telekomunikasi di daerah ini dilaporkan terjejas teruk sejak semalam dan berlarutan sehingga hari ini, melibatkan gangguan akses internet serta talian telefon bimbit.
Seorang penduduk Kampung Banting, John Mail, berkata gangguan tersebut menyukarkan penduduk untuk berhubung dan menjalankan urusan harian.
“Kami memohon pihak kerajaan khususnya agensi berkaitan supaya mengambil tindakan segera berhubung masalah telekomunikasi di Kampung Banting ini.
“Walaupun kawasan ini berada berhampiran bandar, gangguan seperti ini terlalu kerap berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa ke kawasan tertentu seperti pasar untuk mendapatkan capaian talian bagi membuat panggilan atau menghantar mesej.
“Keadaan ini menyusahkan, lebih-lebih lagi saya tidak sihat dan sering berdepan detik cemas. Jika keadaan ini berterusan, bagaimana anak saya hendak menghubungi pihak hospital?” katanya.
John turut berharap aduan tersebut mendapat perhatian segera daripada pihak bertanggungjawab, khususnya SACOFA.
Beliau berkata berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat isu berkaitan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan Lawas yang pernah dibangkitkan dalam pertemuan bersama pejabat Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, pada tahun lalu.
Tambahnya, isu gangguan telekomunikasi di kawasan berkenaan turut beberapa kali dibangkitkan kepada Kerajaan Persekutuan oleh wakil rakyat terbabit.
Oleh Adeng Edrus