PUTRAJAYA, 27 November: Kelewatan Google dan YouTube menangani kandungan berkaitan perjudian dalam talian termasuk ada yang mengambil masa lebih 90 hari, telah mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan undang-undang terhadap Google LLC, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata tindakan undang-undang itu diambil selepas melalui proses yang panjang malah status tindakan terhadap beberapa kandungan yang dilaporkan masih tidak diketahui sehingga kini.
Beliau berkata meskipun kandungan yang dilaporkan MCMC lazimnya bersifat berulang dan berkaitan perjudian dalam talian namun pihak Google dan YouTube masih gagal mengambil tindakan sewajarnya.
“Ada yang mengambil masa lebih 90 hari, ada yang sehingga ke hari ini tidak diketahui apa statusnya,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan MCMC mengambil tindakan undang-undang terhadap Google berbanding menggunakan kuasa kawal selia atau pelesenan sedia ada bagi menangani isu kandungan memudaratkan di YouTube.
Beliau berkata tindakan undang-undang itu merupakan langkah yang dipilih MCMC bagi memastikan platform berkenaan mematuhi kerangka kawal selia negara.
Fahmi berkata memandangkan tindakan undang-undang telah difailkan, perkara itu kini diserahkan kepada proses mahkamah.
Pada Rabu lepas, MCMC dalam kenyataan memaklumkan dua tindakan undang-undang telah dimulakan terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
MCMC memaklumkan tuntutan ganti rugi itu bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Menurut MCMC, saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan termasuk perjudian dalam talian dan penipuan.
Saman kedua pula melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif yang sewajarnya berhubung penerbitan semula pelbagai kandungan yang melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo. – Bernama




