KUCHING: Perluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ke Sabah, Sarawak dan Labuan membuka lembaran baharu dalam pengurusan bahan api sektor pengangkutan apabila syarikat kini beralih kepada kaedah digital yang lebih telus, cekap dan mudah dipantau.
Selaras dengan pelaksanaan SKDS yang menekankan ketelusan dan akauntabiliti, Setel memperkenalkan Petronas SmartPay Tanpa Kad, iaitu penyelesaian pengurusan bahan api sektor pengangkutan secara digital yang direka untuk memudahkan urusan pembelian bahan api, di samping memperkukuh pemantauan operasi syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, pendigitalan kini mengubah cara perniagaan beroperasi termasuk dalam aspek pengurusan bahan api.
“Apabila sesebuah organisasi berkembang, mereka memerlukan penyelesaian yang bukan sekadar memudahkan operasi harian, malah menawarkan kawalan yang lebih baik terhadap sumber perniagaan yang kritikal.
“Petronas SmartPay Tanpa Kad dibangunkan bagi membantu syarikat menguruskan pembelian bahan api dengan lebih cekap melalui sistem digital yang lancar, sekali gus mengurangkan kerumitan urusan harian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pengurusan bahan api secara konvensional lazimnya melibatkan pelbagai proses manual seperti penggunaan kad fizikal, pengendalian resit, penjejakan perbelanjaan dan penyelarasan transaksi yang bukan sahaja memakan masa, malah berisiko menyebabkan ketidakpatuhan serta penyalahgunaan.
Menerusi Portal Petronas SmartPay Tanpa Kad, pengurus kenderaan syarikat boleh mencipta kad SmartPay digital untuk pemandu berdaftar yang dipautkan terus kepada akaun Setel masing-masing.
Setiap transaksi direkodkan secara selamat dan dipaparkan dalam papan pemuka berpusat, sekali gus membolehkan syarikat memantau pembelian bahan api secara masa nyata, mengakses resit digital, menjana laporan serta menetapkan kawalan seperti jenis bahan api, kekerapan pengisian dan stesen Petronas yang dibenarkan.
Pendigitalan proses pembelian bahan api itu membolehkan syarikat mengurus perbelanjaan dengan lebih cekap, meningkatkan pemantauan operasi serta memperkemas aliran kerja pentadbiran.
Selepas proses pendaftaran selesai, syarikat boleh mengurus baki bahan api, akses pemandu dan memantau transaksi menerusi satu platform bersepadu, manakala pemandu pula menikmati pengalaman mengisi bahan api tanpa kad dan tanpa tunai yang lebih mudah.
Bagi memperkukuh sokongan kepada operasi perniagaan, Setel turut meningkatkan had tambah nilai Petronas SmartPay Tanpa Kad serta memperkenalkan ciri Tambah Nilai Automatik (Auto Top-Up) yang akan menambah baki secara automatik apabila ia berada di bawah paras ditetapkan.
Ciri itu membantu mengurangkan proses manual, meminimumkan risiko baki tidak mencukupi ketika operasi serta memastikan kenderaan sentiasa bersedia untuk digunakan.
Ayman berkata, perluasan SKDS bukan sahaja menjadi langkah penting dalam pendigitalan sistem subsidi negara, malah mencerminkan perubahan lebih besar ke arah operasi perniagaan yang lebih pintar dan saling berhubung.
“Melalui Petronas SmartPay Tanpa Kad, kami komited menyokong syarikat dengan penyelesaian digital yang menjadikan pengurusan pengangkutan lebih mudah, telus dan berkesan,” katanya.




