MIRI: Sarawak Kenyah Cultural Festival (SKCF) 7.0 yang menghimpunkan pelbagai persembahan tarian dan muzik tradisional Kenyah menjadi platform untuk memperkenalkan warisan budaya komuniti berkenaan, selain menggalakkan penglibatan generasi muda dalam usaha melestarikannya.
Warisan budaya masyarakat Kenyah dilihat mempunyai potensi besar untuk terus diperkasakan sebagai tarikan pelancongan, selain membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata kepelbagaian budaya Kenyah yang merangkumi muzik, tarian, pakaian dan kraftangan mempunyai nilai tersendiri untuk diketengahkan kepada pelawat.
Katanya, budaya Kenyah bukan sekadar untuk dipamerkan, sebaliknya boleh menjadi tarikan pelancongan yang mampu menarik kedatangan pelawat dari luar, selain membuka peluang kepada masyarakat menjual produk berasaskan budaya tempatan.
“Kita perlu melihat bagaimana budaya yang kita ada boleh memberi pulangan kepada masyarakat tanpa menghilangkan nilai dan keasliannya.
“Perkembangan sektor pelancongan di pedalaman turut bergantung kepada aspek kesalinghubungan, termasuk peningkatan akses jalan raya bagi memudahkan pelawat berkunjung ke kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata demikian pada Malam Kebudayaan Tarian dan Muzik Tradisional sempena SKCF 7.0 di Bangunan Forum, di sini, malam tadi.
Tambahnya, sektor pelancongan merupakan antara pencetus pembangunan ekonomi, khususnya di kawasan Baram, manakala budaya tempatan boleh menjadi sebahagian daripada kekuatan tersebut.
“Sebab itu kita perlu terus memelihara dan mempromosikan budaya supaya ia bukan sahaja dikenali, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) bagi menyokong penganjuran program dan aktiviti persatuan.
Oleh Adum Liu



