SKCF 2026 angkat makanan tradisional Kenyah sebagai khazanah budaya

Facebook
WhatsApp
DATO Dennis Ngau bersama peserta menyediakan masakan tradisional Kenyah pada Program Dapur Warisan Kenyah, di Bangunan Kebudayaan FORUM, hari ini.

MIRI: Program Dapur Warisan Kenyah yang berlangsung sempena Festival Kebudayaan Kenyah Sarawak (SKCF) 2026 menjadi platform penting dalam memperkenalkan dan memelihara khazanah kulinari masyarakat Kenyah kepada generasi akan datang.

Program yang berlangsung dari 1 hingga 4 September 2026 di Bangunan Kebudayaan FORUM itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.

Katanya, program tersebut bukan sahaja menampilkan keunikan masakan tradisional masyarakat Kenyah, malah menjadi medium untuk mempromosikan warisan budaya kepada pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.

“Usaha mendokumentasikan dan memperkenalkan makanan tradisional amat penting bagi memastikan identiti serta nilai budaya masyarakat Kenyah terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda.

DATO Dennis Ngau kelihatan turut membantu dan mencuba memasak makanan tradisional Kenyah sebagai memperkenalkan dan memelihara khazanah kulinari masyarakat Kenyah pada Program Dapur Warisan Kenyah yang berlangsung sempena SKCF 2026 di Bangunan Kebudayaan FORUM, hari ini.

“Program seperti ini dapat memperkukuh jati diri masyarakat, selain meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap kepelbagaian budaya yang terdapat di Sarawak,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak dalam menjayakan SKCF 2026 yang menjadi medan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk bersama-sama menghayati seni, budaya dan tradisi masyarakat Kenyah.

SKCF 2026 yang berlangsung selama empat hari mengetengahkan pelbagai aktiviti kebudayaan, termasuk pameran, persembahan seni, program kulinari serta aktiviti yang mempromosikan warisan masyarakat Kenyah.

Dato Dennis turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak atas kejayaan menganjurkan festival tersebut yang dilihat mampu memperkukuh usaha pemeliharaan budaya, selain merancakkan sektor pelancongan budaya di Sarawak.

Oleh Adum Liu