
SIBU: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Lai merupakan sekolah yang pertama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dicadangkan untuk dipasang dengan kemudahan bilik darjah pintar.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Micheal Tiang Ming Tee, berkata kos untuk pemasangan kemudahan bilik darjah pintar di 28 bilik kelas SJKC Su Lai dianggarkan berjumlah RM300,000.

melihat kemudahan kelas demo bilik darjah pintar di SJKC Su Lai.
“Saya tidak berjanji, tetapi saya akan menyerahkan permohonan dan surat saya kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk memperjuangkan peruntukan bagi tujuan pemasangan kemudahan tersebut.
“Saya juga akan mengemukan cadangan pemasangan kemudahan tersebut di semua sekolah di kawasan DUN Pelawan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut, petang tadi.
Katanya, pemasangan kemudahan tersebut amat penting bagi menarik minat para pelajar untuk belajar.
“Bilik darjah pintar mempunyai skrin dan audio interaktif.
“Saya rasa para pelajar hari ini berbeza, mereka telah didedahkan kepada internet dan video interaktif.
“Justeru, dengan kemudahan seperti ini akan menarik minat para pelajar untuk belajar, sudah tiba masanya untuk kita mempromosi dan melaksanakan konsep ini.
“Beberapa sekolah di Kuching sudah mempunyai bilik darjah pintar, saya berharap situasi yang sama boleh berlaku di Pelawan,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan lain, Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan memberitahu, gelanggang bola keranjang sekolah (SJKC Su Lai) yang juga berfungsi sebagai temlat perhimpunan, mempunyai bumbung yang tinggi dan tidak berkesan melindungi hujan.
“Kami mencadangkan membina gelanggang bola keranjang dengan sirip peneduh (louvers) untuk mengelakkan air hujan daripada masuk.

“Sudah tentu ia tidak 100 peratus berkesan, tetapi ia akan membantu memperbaiki keadaan.
“Jika penyelesaian itu berjaya, saya akan mencari jalan untuk menyokong penambahbaikan kemudahan itu,” kata beliau.
Semasa lawatan itu, Tiang turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk membina tempat parkir kenderaan di luar kawasan SJKC Su Lai dan RM100,000 untuk menaiktaraf tandas sekolah tersebut.
Turut hadir Guru Besar SJKC Su Lai, Kho Kiat Hee.
Oleh Akun Giman