KUCHING: Kekurangan guru di Sarawak ketika ini lebih tertumpu kepada keperluan mengikut opsyen mata pelajaran, khususnya Sains, berbanding kekurangan jumlah guru secara keseluruhan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata Sarawak ketika ini mengalami kekurangan kira-kira 1,000 guru.
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama adalah mendapatkan guru yang mempunyai opsyen tertentu bagi memenuhi keperluan setiap mata pelajaran di sekolah.
“Jumlah kekurangan kita tidaklah terlalu banyak, paling banyak pun sekitar 1,000 sahaja. Tetapi yang kurang ialah guru mengikut opsyen kerana mereka tidak tersedia untuk setiap mata pelajaran, terutama subjek Sains,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di Auditorium, Aras 1, Menara LCDA, The Isthmus, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai keperluan guru mengajar lebih daripada satu mata pelajaran bagi membantu mengatasi kekurangan tersebut, Sagah berkata terdapat guru yang mempunyai kebolehan berkenaan.
“Ada antara mereka yang boleh, ada yang boleh. Itu yang mereka kemukakan kepada saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pengambilan guru baharu bagi Sarawak masih belum dimaklumkan kepadanya setakat ini.
Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan menguruskan proses pengambilan serta membuat tawaran kepada calon yang berjaya.
“Belum lagi. Pengambilan guru untuk Sarawak belum keluar lagi. Kita tengok bagaimana nanti. Tetapi pengambilan guru ini adalah daripada SPP dan mereka yang akan membuat tawaran kepada semua calon yang berjaya,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga masih belum menerima maklumat lanjut berhubung tarikh serta jumlah pengambilan guru baharu bagi Sarawak.
Oleh Adele Rissa





