Peruntukan RM108,000 lengkapi bilik darjah SK Satria Jaya dengan TV interaktif pintar

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN cek peruntukan bernilai RM108,000 untuk TV interaktif pintar kepada SK Satria Jaya.

KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, sebanyak RM108,000 diperuntukkan kepada SK Satria Jaya bagi pembelian sembilan unit TV Interaktif Pintar, sekali gus menunaikan komitmen yang dibuat tahun lalu untuk melengkapkan setiap bilik darjah dengan kemudahan teknologi tersebut.

Beliau berkata, pemasangan terbaharu itu menyaksikan sebahagian besar bilik darjah di sekolah berkenaan kini dilengkapi TV Interaktif Pintar, dengan para guru memberikan maklum balas positif mengenai kemudahan tersebut yang menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

“Teknologi bukan sekadar menyediakan peralatan yang lebih baharu di sekolah. Apa yang penting ialah bagaimana ia dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu pengajaran serta menyediakan alat yang lebih baik kepada guru dalam membantu anak-anak kita belajar,” katanya.

Kong berkata, inisiatif itu sudah memberikan impak positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta berharap TV Interaktif Pintar berkenaan akan terus memberi manfaat kepada guru dan murid untuk tahun-tahun akan datang.

Beliau menambah, bilik darjah Tahun Satu masih memerlukan kemudahan tersebut dan beliau akan terus berbincang dengan pihak sekolah bagi meneroka bentuk bantuan selanjutnya, termasuk kemungkinan menyediakan unit tambahan pada tahun depan.

“Pendidikan merupakan pelaburan untuk anak-anak kita dan masa depan masyarakat. Kami akan terus melakukan apa yang termampu bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan dan sumber yang diperlukan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik kepada anak-anak kita,” katanya.