
SIBU: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan trend penurunan apabila beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup susulan keadaan yang semakin pulih.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), sehingga 12.00 tengah hari tadi, hanya dua PPS masih beroperasi di negeri ini dengan jumlah mangsa seramai 210 orang daripada 80 Ketua Isi Rumah (KIR).
Di Bahagian Sibu, PPS Dewan Komuniti Sibu Jaya kini menempatkan 25 mangsa daripada lapan KIR, manakala PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit merekodkan 185 mangsa daripada 72 KIR.
Kedua-duanya mencatatkan penurunan jumlah penghuni.
Sementara itu, di Bahagian Kapit, dua PPS iaitu Asrama Belia Kapit dan Dewan Suarah Kapit telah ditutup pada 9.00 pagi, manakala Dewan Serbaguna Selangau di Sibu turut ditutup pada 12.00 tengah hari.
Bagi PPS mangsa tanah runtuh di Sibu, PPS Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya kekal menempatkan 10 KIR dan 43 mangsa manakala di Miri, PPS Dewan Kampung Sukan menempatkan 11 KIR dan 40 mangsa.
Selain itu di Bintulu pula, PPS Gereja St. Benard Rh Lapie menempatkan seramai 27 KIR dan 152 mangsa kebakaran.
Jumlah keseluruhan KIR di kesemua PPS setakat ini adalah seramai 128 KIR dengan jumlah keseluruhan mangsa di PPS ialah 445 orang, dengan sebanyak lima PPS telah dibuka.
Oleh Tarani Lanting