SPAOH: Sistem Saliran Tanjung Sebekut di sini akan dinaik taraf dengan kos RM5 juta, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Projek itu akan ditender dalam masa terdekat, katanya ketika menjelaskan komponen latihan peningkatan kepada anggota Skim Tanjung Sebukut di sini, semalam.
Turut hadir Pegawai Saliran dan Pengairan Bahagian Betong, Bartholomew Emily Ayu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Dr. Richard Rapu dan Pengerusi Skim Tanjung Sebukut, Abang Hendi Abang Zaini dan Setiausahanya, Abdul Karim Jawi.
“Kerajaan akan menyediakan kemudahan bagi pesawah padi di daerah ini dengan mesin untuk membantu dalam penuaian,” katanya sambil memberitahu Kerajaan Sarawak kini meningkatkan infrastruktur jalan, saliran dan pengairan dan ahli jawatankuasa akan terlibat dalam memantau kerja naik taraf.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan, tender untuk pembinaan pasar baharu Spaoh bernilai RM5 juta akan ditutup pada Rabu ini.
“Pasar ini akan menjadi bangunan dua tingkat. Tingkat atas terdiri daripada kedai makan, manakala di tingkat bawah meliputi keseluruhan pasar.
“Ini merupakan satu lagi manifestasi berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa kemudahan moden dan lebih baik di kawasan luar bandar negeri ini.
Menurut Setiausaha Majlis Daerah Betong, Charlie Keling, penyerahan kawasan pembinaan itu kepada kontraktor yang berjaya dijangka dilakukan pada pertengahan September depan.