24 anggota Maritim tingkat kemahiran menyelamat mangsa di laut

Facebook
WhatsApp
KURSUS Perenang Awasan Bilangan 1 Tahun 2026 di Kolam Renang Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) serta Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

KUCHING, 1 November: Seramai 24 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) menyertai Kursus Perenang Awasan Bilangan 1 Tahun 2026 bagi meningkatkan kemahiran menyelamat mangsa kecemasan di laut.

Menurut kenyataan Maritim Malaysia, kursus itu memberi tumpuan kepada tugas Perenang Awasan Kapal yang membantu tindakan menyelamat, khususnya ketika berlaku insiden orang jatuh laut.

Kursus anjuran Pusat Kecil Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching dengan kerjasama Skuadron Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (PTK) itu berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober lalu.

Latihan diadakan di Kolam Renang Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) serta Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

“Sepanjang kursus, peserta mengikuti sesi teori dan latihan amali merangkumi teknik renang, kaedah menyelamat mangsa, penggunaan peralatan menyelamat serta prosedur keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Selain 24 peserta, kursus tersebut turut melibatkan tiga pegawai, tiga penyelia dan tujuh jurulatih, menjadikan keseluruhan penglibatan seramai 37 orang.

Menurut kenyataan itu, Perenang Awasan merupakan elemen penting dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), terutama bagi membantu mangsa yang berada di permukaan air.

Latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan tindak balas anggota serta kesiapsiagaan pasukan dalam melaksanakan operasi menyelamat di laut.