

SARATOK: Penantian lebih setahun penduduk serta warga sekolah akhirnya berakhir dengan penuh kegembiraan apabila Jambatan Nanga Apan yang menjadi laluan utama ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kabo kini telah siap sepenuhnya.
Majlis perasmian jambatan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, semalam dalam suasana penuh bermakna dengan kehadiran pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.
Dengan siapnya jambatan baharu ini, ia menamatkan kesulitan yang dihadapi penduduk sejak jambatan asal musnah akibat banjir besar pada 19 Januari 2025 sehingga menjejaskan akses harian terutama bagi murid sekolah.
Akibat kejadian itu, murid-murid SK Ulu Kabo terpaksa dipindahkan sementara ke SK Lempa bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan tanpa gangguan besar.


Selepas melalui tempoh mencabar, kerja pembinaan semula jambatan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 10 Februari tahun ini sebelum dibuka secara rasmi untuk kegunaan komuniti dan sekolah pada 2 Mac lalu.
Pembukaan jambatan ini membawa kelegaan besar kepada ibu bapa dan penduduk apabila anak-anak kini boleh kembali bersekolah di SK Ulu Kabo tanpa perlu menempuh perjalanan jauh atau risiko berbahaya.
Menurut Friday, siapnya jambatan tersebut memberi jaminan keselamatan kepada murid serta mengurangkan kebimbangan ibu bapa yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada alternatif yang tidak selesa.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus diperkasakan demi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan pedalaman.
Tambahnya lagi, projek berkenaan membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pendidikan dan komuniti setempat dalam memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan generasi muda di kawasan Kabo terus terjamin.
Turut hadir, Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid; Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli; serta Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor bersama komuniti rumah panjang yang terlibat.
Oleh Adi Safarman