
SIMANGGANG: Biro Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga tahun ini menyediakan sebanyak 48 lot tapak jualan bersempena penganjuran Simanggang Ramadan Fest 2025 di Jalan Kelab, Bandar Simanggang.
Menurut Ketua Pergerakan Wanita PBB Lingga, Sapiah Drahman, daripada jumlah itu, sebanyak 40 lot disediakan untuk makanan dan minuman, manakala lapan lot lagi untuk jualan berpanggang.
“Biro Wanita PBB Cawangan N.28 Lingga dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Lingga telah diamanahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor untuk mengendalikan Simanggang Ramadan Fest pada kali ini.
“Simanggang Ramadhan Fest 2025 yang lokasinya di Jalan Kelab di Bandar Simanggang ini menyediakan tapak mampu milik berkeluasan 10 x 8 kaki, berharga RM150 bagi gerai makanan dan minuman, dan 20 x 10 kaki berharga RM200 bagi jualan berpanggang,” katanya.
Sapiah berkata penyediaaan lot di tapak bazar Ramadan ini disediakan sekali dengan kanopi, lampu kipas, dan soket serta disediakan kawalan oleh anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) selama 24 jam untuk menjaga kawasan tersebut.
Turut disediakan ialah bekalan air yang mencukupi, dan penyediaan tong sampah besar untuk pembuangan sampah.
“Semoga inisiatif yang dianjurkan oleh ADUN Lingga ini dapat membantu para peniaga kecil serta usahawan berniaga sepanjang bulan Ramadan yang bermula hari ini (semalam),” katanya.
Oleh Adi Safarman