KABONG: Silat Mayang Mangurai Sarawak Wilayah Kabong yang telah ditubuhkan Mei tahun ini telah menerima seramai 80 orang keahlian terdiri daripada belia serta kanak-kanak di sekitar Daerah Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir memuji di atas usaha dan inisiatif pertubuhan ini mewujudkan kembali seni bela diri atau seni mempertahankan diri silat di Kabong.
“Saya memuji usaha seperti ini untuk kembali mengaktifkan seni Silat Mayang Mengurai yang kini melibatkan seramai 80 orang ahlinya dalam kalangan belia dan kanak-kanak yang diuruskan oleh Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) yang telah ditubuhkan pada Mei tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi randau bersama Silat Mayang Mengurai Sarawak Wilayah Kabong dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata warisan seni ilmu persilatan perlu dipertahan serta diturunkan kepada generasi baharu supaya seni ini tidak hilang ditelan zaman.
“Saya akan sentiasa menyokong penuh setiap aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti ini. Kerana dengannya, pasti akan menarik golongan belia untuk turut serta, seterusnya membantu mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak muda.
“Komitmen saya akan membantu persatuan dan pertubuhan di kawasan ini agar aktiviti dan program dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyempurnakan simbolik penyerahan baju rasmi Silat Mayang Mengurai Sarawak Wilayah Kabong kepada ahli-ahli.
Turut disampaikan ialah barang keperluan bagi menjalani latihan pesilat.
Selain itu juga, beliau turut akan menyumbangkan set baju silat kepada pesilat yang berjaya meningkatkan tahap kemahiran (mengikut warna tali pinggang).
“Inisiatif sebegini adalah penting bagi menarik minat belia serta anak muda kepada seni mempertahankan diri seperti seni silat ini sekali gus mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan tidak sihat,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN