Calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri N.11 Batu Lintang, Sih Hua Tong menghabiskan masa tiga jam menyantuni seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) tetapi tiada siapa yang tahu bahawa beliau telah mengunjungi lelaki berkenaan beberapa kali sebelum itu untuk mengambil tahu segala keperluannya.
Beliau jugalah yang berulang alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu lelaki OKU berkenaan memohon bantuan kebajikan. Malah ketika anak lelaki berkenaan keluar bekerja, Hua Tong jugalah yang datang dan membawa keperluan harian lelaki tersebut.
Bagi Hua Tong, ini adalah tugasan harian beliau. Bekerja tujuh hari seminggu untuk membantu dan memberi perkhidmatan kepada sesiapa yang memerlukan, tiada kira hujan atau panas tanpa mengeluh.
Tiada acara meriah, tanpa silauan lampu kamera tetapi hanya beliau seorang dan kadang-kadang datang bersama pembantunya, untuk melakukan kerja yang tidak pernah habis dan kebanyakannya memakan masa dan meletihkan.
Mencari masa untuk menemu bual beliau juga dianggap ‘tidak ternilai’ memandangkan gendang perang pilihan raya sudah bermula. Justeru jadual Hua Tong sentiasa penuh dari pagi hingga ke lewat malam, dari mesyuarat politik hinggalah hadir di konstituensi dan berkempen secara atas talian.
Hua Tong seorang yang merendah diri, itu pendapat kawan-kawan tentang beliau. Beliau seorang yang suka ketawa, senyum dan menyapa sesiapa sahaja. Walaupun ketika dirundung duka, Hua Tong tetap akan menghulurkan senyuman kepada orang sekeliling. Kata beliau, senyuman menyampaikan mesej positif yang kuat.
“Apabila anda senyum kepada sesiapa yang sedang bersedih, secara semulajadi dia akan senyum kembali. Ini akan menaikkan semangatnya,” kata beliau.
Hua Tong juga bukan asing ketika turun padang untuk bertugas. Meskipun tidak gemar publisiti, beliau selalu mendokumentasikan kerja dengan gambar.Sehingga kini, terdapat ribuan gambar di dalam komputer beliau dan akaun WhatsApp beliau juga mempunyai 6,840 kontak, majoritinya dari kalangan orang yang pernah beliau bantu.
“Saya rasa bersalah apabila tidak semua kes yang saya tangani berjaya diselesaikan. Tetapi saya selalu memberitahu diri bahawa saya telah melakukan yang terbaik dan orang yang datang meminta bantuan saya tahu itu dan itu sudah cukup baik,” kata beliau.
Lulusan Universiti Malaya dengan Kepujian di dalam bidang Fizik, Hua Tong menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bantu Lintang dalam tahun 1993 dan pada tahun yang sama dipilih sebagai Pengerusi Belia parti itu. Selepas 2008 baharulah beliau mengambil keputusan untuk menyertai politik sepenuh masa.
Mengenali Batu Lintang seperti mengenali belakang tangan sendiri, Hua Tong pernah tewas dua kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini. Kali pertama ketika mula-mula menyertai politik dan kali kedua pula, beliau terperangkap di dalam ‘angin perubahan’.
“Dianggarkan ada 29,689 pengundi di Batu Lintang dengan 85 peratus daripadanya adalah Cina, manakala selebihnya bumiputera dan India. Terdapat lebih 100,000 penduduk di konstituensi ini dan majoriti adalah dari kelas pertengahan. Kebanyakannya hanya mahukan persekitaran yang aman, lengkap dengan infrastruktur, selamat dan gaya hidup berkualiti. Ya, memang ramai yang hanya mahu ada makanan di atas meja tetapi terdapat juga segelintir penduduk miskin di kawasan ini dan mereka perlukan jagaan serta perkhidmatan tambahan. Sebab itu saya salurkan permohonan tidak putus-putus untuk membantu mereka dalam aspek seperti PERKESO, kebajikan, BKSS dan sebagainya.
Sambil merayu pengundi Batu Lintang memberi beliau peluang, Hua Tong berkata, orang ramai telah melihat bagaimana keadaan negeri ini apabila pembangkang berkuasa.
“Masalah kekal tidak diselesaikan, misalnya isu perparitan dan banjir kilat. Saya hanya mempunyai platform kecil dan saya cuba membantu dengan apa cara yang termampu. Beri saya peluang untuk membawa masalah anda ke DUN dan biar saya selesaikan isu-isu besar yang kita hadapi di sini. Saya beri jaminan saya akan berjuang untuk perubahan. Ramai yang mengenali saya tahu bahawa saya selalu berjuang untuk kes-kes anda, kecil atau besar, dengan penuh minat. Banyak kali saya menyelesaikan masalah-masalah anda dan ada ketikanya apabila saya gagal, anda semua tetap berpuas hati kerana dari awal saya sudah memberitahu ‘kita cuba’ walaupun sebahagian masalah memang mustahil untuk diselesaikan.
Bagi segelintir orang yang pernah beliau bantu, Hua Tong berkata orang asing kini menjadi kawan beliau. Justeru, hidup beliau ‘kaya’ dengan kawan-kawan di sekeliling. Ramai yang mencari beliau untuk berterima kasih selepas kes-kes mereka diselesaikan dan sebahagian yang lain akan datang untuk berterima kasih kerana beliau telah berusaha, walaupun gagal.
Rutin khidmat harian Hua Tong berpandangan dari 10 hingga 12 jam sehari, dari Isnin hingga Ahad. Banyak kali beliau pulang lewat malam dan kembali memulakan kembali kerja pada awal paginya.
“Ada juga masanya saya bangun lewat kerana saya memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan isu-isu yang diberikan kepada saya,” kata beliau.
Ditanya bagaimana keluarga beliau menerima keadaan ini, Hua Tong berkata beliau amat berterima kasih kepada isteri dan anak-anak yang sentiasa memahami dan member galakan serta sokongan, walaupun ketika anak-anak masih kecil, mereka tidak faham kenapa ayah mereka sentiasa bekerja. Kini anak-anaknya sudah dewasa dan menggalas tugas sebagai peguam, mereka pula yagn membantu beliau untuk berkempen.
Pernah sekali beliau pulang sekitar jam 10 malam dan anak perempuan beliau menunggu di luar rumah. Terkejut kerana anak perempuan beliau tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, beliau berfikir mungkin anaknya itu ada masalah untuk dibincangkan bersama.
Namun apa yang disampaikan oleh anak perempuannya amat menyentuh hati beliau. Menurut anak perempuannya, dia sekarang faham kenapa sambutan hari jadi dia dan abangnya selalu ditangguhkan sebelum ini, mengapa pada setiap perjumpaan PIBG hanya ibu mereka yang hadir, mengapa piknik keluarga selalu dibatalkan pada saat-saat akhir dan mengapa rancangan makan malam dibatalkan atau beliau tidak hadir. Kata anaknya, dia tahu sekarang apabila melihat gambar-gambar yang beliau dokumentasi kerana ketika itu beliau sedang sibuk membantu rakyat.
Sambil mengesat air mata, Hua Tong melahirkan rasa lega apabila keluarga sentiasa berdiri di belakang beliau sedangkan beliau jarang menjelaskan keadaan itu kepada anak-anak sebelum ini.
Mengulas tentang lawan beliau di dalam Pilihan Raya Ke-12 ini, Hua Tong yakin para pengundi di Batu Lintang sudah cukup bijak untuk melihat bagaimana kurangnya pembangunan di Bantu Lintang selama ini dan bagaimana ahli politik sekarang ini ‘melompat’ ke tempat yang lebih menguntungkan mereka.
Sementara itu, di dalam pemilihan kali ini, Hua Tong akan berdepan empat pencabar.
Oleh CONNIE CHIENG