SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu disarankan untuk mencari sebidang tanah kerajaan yang terdapat di sini bagi membina premisnya sendiri.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, mereka boleh memohon bantuan daripada pihak berkenaan serta wakil-wakil rakyat tempatan.
“Lebih baik membina premis sendiri daripada membeli atau menyewa premis komersial kerana anda boleh buat mengikut acuan sendiri.
“Jika tiada tanah yang sesuai dan terlalu mahal di kawasan bandar, boleh cari di kawasan pinggir bandar.
“Misalnya di Sibu Jaya. Tak payah tanah yang luas, kecil pun boleh asalkan mempunyai tapak untuk membina premis sendiri,” katanya berucap menyempurnakan majlis makan malam sempena Ulang Tahun ke-35 SIDS Cawangan Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.
Majlis yang dihadiri lebih 1,500 hadirin itu turut dihadiri oleh isterinya Datin Sri Melia Gelen, Setiausaha Politik Premier Sarawak William Anut, Temenggong Stanley Gramong, Presiden SIDS Dato Ir Alice Jawan, Pengerusi SIDS Cawangan Sibu Angelyn Uchi Maseng, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong dan pengerusi pengelola Tuai Rumah Monica Giri.
Beliau memberitahu, selepas berjaya mengenal pasti tanah berkenaan, SIDS Cawangan Sibu boleh mengemukakan permohonan tanah itu bagi mendapatkan sokongan daripada pihak berwajib.
Menurutnya, SIDS Cawangan Sibu juga boleh menulis surat untuk mendapatkan sokongannya.
“Selepas berjaya mendapat tanah, anda boleh memohon kepada Premier Sarawak untuk meminta bajet membina premis, saya juga boleh membantu anda untuk proses ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus.
Mengenai SIDS yang sudah lama ditubuhkan, Sikie menggesa agar lebih banyak lagi wanita-wanita Dayak menyertai Sarakup.
Beliau menyifatkan SIDS sebagai pemangkin kepada kejayaan wanita untuk maju dalam ekonomi, pendidikan anak-anak, perniagaan dan sebagainya.
“SIDS boleh memperluaskan keahlian serta menubuhkan cawangannya di kawasan yang masih belum ada lagi khususnya di kawasan luar bandar. Kewujudan SIDS sangat positif dan memberi impak yang sungguh besar kepada pembangunan wanita Dayak amnya,” tegasnya.
Justeru, beliau mahu SIDS menjayakan visi kerajaan untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 dengan memperkasakan golongan wanita Dayak melalui peranannya.
Sementara itu, Uchi dalam ucapan aluannya memberitahu bahawa SIDS Cawangan Sibu mula ditubuhkan pada 1988 oleh jawatankuasa protemnya dan diluluskan pendaftaran dengan rasminya pada 1989.
“Semasa mula ditubuhkan, kita hanya mempunyai seramai 40 orang ahli sahaja dan setelah berusia 35 tahun ditubuhkan SIDS Cawangan Sibu kini dianggotai 1,500 ahli yang terdiri daripada wanita dari kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman di sini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Sikie turut menyampaikan tanda penghargaan kepada bekas-bekas Pengerusi SIDS Cawangan Sibu terdahulu yang terdiri daripada Nancy Sudan (1988/Protem), Rosely Umbau (1989), Suda Ambas (1990-1999) dan Dato Ir Alice Jawan (2000-2017).
Beliau juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada SIDS Cawangan Sibu bagi kegunaan aktivitinya.
Oleh Tarani Lanting