KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) enggan mengulas spekulasi berhubung kemungkinan perlumbaan Formula Satu (F1) kembali dianjurkan di Malaysia pada Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya tidak dapat memberikan penjelasan lanjut ketika ini kerana terikat dengan syarat kerahsiaan atau perjanjian tanpa pendedahan (NDA) bersama Liberty Media, pemegang hak komersial F1.
“Buat masa ini, kami masih terikat dengan NDA bersama F1 (Liberty Media) dan tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut,” katanya dalam respons ringkas kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dalam satu kenyataan memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengadakan perbincangan serta menjalankan penilaian terhadap kemungkinan menganjurkan perlumbaan F1 di SIC bagi menggantikan Grand Prix (GP) Bahrain pada Oktober ini.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS telah menerima makluman awal mengenai kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1, selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan itu pada 2017.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja ia dimuktamadkan,” katanya.
Sementara itu, portal sukan permotoran The Race pada Khamis melaporkan Malaysia berkemungkinan dimasukkan ke dalam kalendar F1 pada notis singkat tahun ini sekiranya konflik melibatkan Iran terus menjejaskan jadual perlumbaan.
Pada pertengahan Mac lepas, perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi yang dijadual berlangsung pada April ditangguhkan susulan peperangan, sekali gus mengurangkan kalendar musim ini daripada 24 kepada 22 perlumbaan, menurut agensi berita Jerman, dpa.
Laporan itu menyebut sekiranya dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar pada 29 November dan Abu Dhabi pada 6 Disember tidak dapat diteruskan susulan konflik di Asia Barat, pihak pengurusan F1 sedang mempertimbangkan beberapa pilihan alternatif.
Sebelum ketegangan melibatkan Iran kembali memuncak, penganjur berharap dapat menjadualkan semula GP Bahrain pada hujung minggu pertama Oktober, iaitu di antara GP Azerbaijan dan GP Singapura.
Bagaimanapun, kemungkinan itu kini dilihat semakin tipis susulan ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran.
Sehubungan itu, Malaysia dan Turkiye kini merupakan antara calon untuk menjadi tuan rumah perlumbaan pada 4 Oktober, menurut laporan berkenaan.
F1 dijangka membuat keputusan awal berhubung cadangan perlumbaan itu ketika kejohanan memasuki rehat pertengahan musim selepas GP Hungary di Budapest hujung minggu ini, sebelum saingan bersambung semula pada penghujung Ogos.
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 berikutan peningkatan kos penganjuran serta fi pelesenan. – Bernama




