BEKENU: Hanya sebuah stesen minyak masih beroperasi di Bekenu, manakala beberapa lagi premis masih dalam siasatan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Isu gangguan bekalan bahan api di kawasan itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat sebaik sahaja siasatan terhadap operasi beberapa stesen minyak selesai.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, orang ramai tidak perlu membuat sebarang spekulasi kerana tindakan yang diambil adalah mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung isu bekalan bahan api di kawasan itu.
“Sebenarnya, siasatan masih berjalan dan kita berharap proses itu dapat dipercepatkan supaya operasi stesen-stesen minyak dapat kembali seperti biasa.
“Jadi, kita minta orang ramai bersabar dan tidak membuat andaian yang tidak tepat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Rindok Ati 2026 di sini, hari ini.
Rosey berkata, beliau berharap KPDN dapat mempercepatkan proses siasatan memandangkan penduduk Bekenu, khususnya di kawasan luar bandar, bergantung kepada bekalan bahan api untuk urusan harian.
“Penggunaan kenderaan pacuan empat roda di kawasan itu bukan sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan berikutan keadaan geografi serta jarak perjalanan yang jauh.
“Saya juga berharap syarikat pembekal dapat memastikan bekalan bahan api di stesen yang masih beroperasi mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk sehingga operasi semua stesen kembali pulih,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan isu tersebut bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas serta bekalan bahan api kembali stabil secepat mungkin.
Oleh Adum Liu



