SIBU: Siasatan akan dijalankan mengenai aduan segelintir pemilik tanah berkaitan isu kenaikan melebihi 100 peratus cukai sewa yang disemak semula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang berkata, beliau akan melakukan siasatan untuk memastikan perkara itu benar atau sebaliknya.
Menurutnya, walaupun diumumkan bahawa kenaikan cukai tidak melebihi 100 peratus, beberapa pemilik tanah telah membentangkan rekod dan bukti bahawa kenaikan itu sememangnya melebihi 100 peratus.
“Sesetengah pemilik tanah pergi ke Jabatan Tanah dan Survei untuk membayar cukai tanah bagi t2023. Mereka terkejut kerana kadar bayaran yang diminta melebihi kenaikan 100 peratus.
“Sehubungan itu, saya meminta mereka (pemilik tanah) untuk mengumpul semua rekod dan memberikannya kepada saya untuk mengesahkan maklumat ini dengan Jabatan Tanah dan Survei.
“Saya akan menjalankan siasatan, jika perkara ini benar, maka ia adalah isu yang serius. Saya akan membawa perkara ini kepada pemimpin tertinggi dan jabatan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) dan Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN) di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, pemilik tanah tidak membantah sekiranya kadar yang mereka bayar mengikut pengumuman rasmi.
“Jika kenaikan itu melebihi 100 peratus, ia agak memudaratkan ekonomi tempatan dan ekonomi Sarawak terutamanya semasa pasca Covid-19.
“Saya akan membuat susulan mengenai perkara ini dan saya akan meminta mereka menyerahkan bukti kepada saya,” katanya.
Untuk rekod, kadar sewa baru meningkat daripada 22 sen kepada RM1.62 semeter persegi bagi rumah kedai; 20 sen kepada RM1.46 semeter persegi untuk kegunaan komersial lain selain daripada rumah kedai dan pelabuhan, perlombongan, mineral dan penggunaan unsur surih; daripada 9 sen kepada 43 sen bagi setiap meter persegi untuk kegunaan industri; penggunaan pejabat dan pembangunan bercampur daripada 5 sen kepada 23 sen sekaki persegi; untuk rekreasi dari 3 sen hingga 12 sen bagi setiap meter persegi; penggunaan industri minyak dan gas pada 54 sen sekaki persegi; dan guna tanah lain dari 2 sen hingga 8 sen sekaki persegi.
Oleh AKUN GIMAN