KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kementerian itu.
Kali ini ditujukan kepada Inspektor Kesihatan Shahir Razali dan Mastura Maznor yang beliau anggap sebagai wira, kerana mereka benar-benar menghayati slogan Kementerian Kesihatan ‘Kami Sedia Membantu’.
“Melayan insan dengan lemah lembut tanpa sempadan kaum atau agama. Inspektor kesihatan kami Shahir Razali telah menggendong mak cik warga emas berbangsa Cina ke pusat ujian COVID-19.
“Berpuasa pada bulan Ramadan dan memberikan khidmat kepada orang yang memerlukan ketika memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), sesungguhnya anda adalah wira kami. Sangat bangga dengan anda berdua dan terima kasih,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya malam semalam.
Bersama hantaran itu, turut dilampirkan dua gambar yang satu daripadanya sedang memikul wanita warga emas itu manakala seorang lagi sedang memegang walker dan imej kedua menunjukkan empat petugas barisan hadapan yang memakai sut PPE dengan tertera perkataan di sarung tangan mereka, We Love Malaysia, Stay Safe (Kami Sayang Malaysia, Kekal Selamat).
Sikap baik mereka itu juga berjaya menarik perhatian netizen yang memberikan pujian dan penghargaan di ruang komen, apabila hantaran itu menerima lebih 16,000 tanda suka dan 756 perkongsian dalam tempoh satu jam.
Ida Zulridah mencatatkan: “Alhamdulillah… congratulations En Shahir Razali and Mastura Maznor.. we are proud of you and the MOH workforce… thank you Dato’… thank you frontliners. (Alhamdulillah… tahniah En Shahir Razali dan Mastura Maznor.. kami bangga dengan anda dan tenaga kerja KKM… terima kasih Dato’… terima kasih barisan hadapan).
Chong Choy Lin pula menulis: “Thank you En Shahir Razali and Mastura Maznor. Your act has touched us all. Thank you again for showing the true spirit and demands of your profession…I believe many more frontliners have noble hearts like the both of you….TQ frontliners”. (Terima kasih En Shahir Razali dan Mastura Maznor. Tindakan anda telah menyentuh hati kami semua. Terima kasih sekali lagi kerana menunjukkan semangat dan tuntutan profesion anda yang sebenarnya… Saya percaya ramai lagi barisan hadapan yang mempunyai hati yang mulia seperti anda… Tk barisan hadapan).
Sementara itu, Shylaja Ramotharan dalam hantarannya: “Malaysians help one another irrespective of race. Salute you Abang Shahir Razali and Kakak Mastura Maznor. May all your undertakings be eased…” “Rakyat Malaysia saling menolong tanpa mengira bangsa. Menyanjung tindakan anda Abang Shahir Razali dan Kakak Mastura Maznor. Semoga semua usaha anda dipermudahkan…).– Bernama