ADENG EDRUS
LAWAS: Jentera kempen parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak harus hanya bertahan, sebaliknya perlu ‘menyerang’ balik serangan pembangkang.
Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jentera kempen gabungan itu perlu tampil dengan fakta dan bukti bagi menyanggah tuduhan parti lawan.
“Oleh itu, semua jentera tidak harus berada dalam keadaan bertahan tetapi mula sama-sama menyerang.
“Kita perlu memiliki segala fakta dan bukti-bukti jelas dalam menghadapi perang persepsi yang mula digunakan pihak lawan.
“Gunakan kelebihan berhujah untuk setiap jentera di akar umbi. Kita jangan takut sebaliknya tegas memperjuangkan GPS melalui penerangan hala tuju perjuangan kita untuk mengangkat martabat rakyat Sarawak keseluruhannya,” katanya pada sesi perjumpaan dengan jentera GPS di Pusat Khidmat GPS Parlimen Lawas di sini, hari ini.
GPS adalah gabungan empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, semua jentera GPS itu perlu bangkit berjuang habis-habisan dalam perang politik bagi menambah jumlah kerusi Parlimen GPS.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PBB berkata, ia penting dalam memastikan suara rakyat Sarawak bersama 31 kerusi Parlimen dapat bergema di Dewan Rakyat dan menjadi kuasa penting memastikan hak Sarawak dikembalikan sepenuhnya.
Awang Tengah memuji persiapan rapi jentera parti GPS di Parlimen Lawas.
Beliau mahu segala maklumat dan isu-isu yang telah dikumpul untuk digunakan sepenuhnya menjelang kempen PRU ke-15 ini.
“Kita guna seluruh kekuatan jentera untuk menyerang balik, membongkar pembohongan pembangkang dan menjawab segala isu yang dimanipulasi oleh pihak pembangkang,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Kepada Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan semua ahli jawatankuasa induk parti PBB Cawangan Bukit Sari, Bakelalan dan komponen GPS iaitu PDP, SUPP dan PRS di Lawas.