PETRA JAYA: Permohonan daripada penggiat industri kreatif Sarawak untuk mendapatkan dana pembangunan masih rendah meskipun kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi menyokong sektor berkenaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah dana yang tersedia ketika ini adalah sekitar RM8 juta, namun beliau mengakui tidak pasti mengenai angka tersebut.
“Jadi ketika ini di kementerian, kalau tidak silap saya, adalah RM8 juta. Tapi permohonan kepada dana ini agak rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Negeri Sarawak, Sidang 2, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, kerajaan negeri sebelum ini turut menyediakan dana bagi membantu penggiat industri kreatif mengembangkan aktiviti serta projek dalam bidang berkenaan.
Menurut beliau, peluang pembiayaan tersebut perlu dimanfaatkan golongan muda bagi mengembangkan bakat dan kreativiti mereka sehingga mampu menjadi sumber pendapatan.
Dalam pada itu, Abdul Karim mahu golongan muda melihat bidang kreatif sebagai satu laluan kerjaya dan bukan sekadar hobi.
“Saya mahu melihat anak-anak muda melihat kreativiti, bukan sekadar hobi. Kreativiti boleh menjadi kerjaya. Kreativiti boleh menjadi perniagaan. Kreativiti boleh menjadi industri,” ujarnya.
Beliau berkata, perkembangan industri kreatif pada masa kini membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk menjadikan kemahiran dan bakat sebagai satu kerjaya.
Jelasnya, perubahan pemikiran itu penting bagi menggalakkan golongan muda bergerak daripada sekadar mencari pekerjaan kepada usaha mencipta peluang ekonomi sendiri.
“Bantuan kerajaan perlu dilihat sebagai pemangkin untuk membantu golongan muda mengembangkan idea dan perniagaan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan,” katanya.
Oleh Adele Rissa




