
MADRID: Gelombang haba pertama musim ini di Sepanyol mengorbankan lebih 200 nyawa dalam tempoh hanya empat hari, menurut data yang diterbitkan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sistem pengawasan kematian Carlos III University di Madrid merekodkan lebihan kematian sebanyak 212 kes antara Ahad hingga Rabu yang dikaitkan dengan suhu luar biasa tinggi mencecah lebih 45 darjah Celsius.
Rabu merupakan hari paling banyak mencatatkan kematian dengan 95 lebihan kematian –hampir separuh daripada jumlah keseluruhan bagi tempoh empat hari itu. Pada Selasa, sebanyak 66 kematian berkaitan gelombang haba direkodkan, diikuti 38 kes dan 13 kes masing-masing pada Isnin dan Ahad.
Sepanyol merekodkan ribuan kematian yang secara rasmi dikaitkan dengan suhu tinggi pada setiap tahun. Menurut Kementerian Kesihatan di Madrid, sebanyak 3,832 kematian berkaitan haba direkodkan di seluruh negara antara 16 Mei hingga 30 September 2025.- Bernama