8 maut, 1 selamat dalam nahas helikopter tentera Peru

Facebook
WhatsApp
LAPAN anggota tentera Peru maut manakala seorang lagi terselamat selepas helikopter Mi-17 Tentera Udara negara itu terhempas ketika menjalankan misi membawa keluar pasukan peronda tentera di Lembah Sungai Apurimac, Ene dan Mantaro (VRAEM). Foto AGENSI

LIMA, 28 November: Lapan anggota tentera Peru maut manakala seorang terselamat selepas sebuah helikopter Tentera Udara terhempas di kawasan luar bandar di Lembah Sungai Apurimac, Ene dan Mantaro (VRAEM), menurut pihak tentera pada Jumaat, lapor Xinhua.

Helikopter itu ditemukan pada Jumaat, sehari selepas terhempas dengan sembilan orang di dalamnya di VRAEM, kawasan penanaman pokok koka terbesar di negara itu, menurut Pemerintahan Khas VRAEM Angkatan Tentera Peru.

Helikopter Mi-17 milik Tentera Udara Peru itu sedang dalam misi membawa keluar pasukan peronda tentera dari kawasan berkenaan ketika terhempas, mengorbankan lima anggota Tentera Udara dan tiga anggota Tentera Darat, menurut pemerintahan khas itu.

Satu-satunya mangsa yang terselamat ialah juruterbang merangkap komander helikopter itu, Enzo Espinoza, yang segera dibawa ke Lima untuk mendapatkan rawatan perubatan pakar. Tiada butiran mengenai keadaannya diberikan.

Pihak berkuasa belum mendedahkan punca nahas itu dan siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti keadaan yang membawa kepada kejadian berkenaan. – Bernama-Xinhua