LEMBAR, Indonesia: Seorang wanita maut manakala 172 penumpang diselamatkan selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran pulau pelancongan Bali, Indonesia, menurut pegawai penyelamat.
Kejadian itu merupakan insiden kedua membabitkan feri terbakar di Indonesia dalam tempoh beberapa hari.
Sebuah kapal tentera laut bersama beberapa kapal lain memindahkan 172 penumpang dari feri berkenaan, termasuk dua pelancong Australia, kata pegawai mencari dan menyelamat, Muhamad Hariyadi kepada AFP.

Hariyadi, yang bertugas di pulau Lombok, berkata seorang wanita Indonesia berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia. Feri berkenaan dalam perjalanan dari Bali menuju Lombok.
Jurugambar AFP di Lembar, di pantai barat Lombok, melihat seorang mangsa dibawa ke darat dalam beg mayat.
Mangsa yang terselamat, Kiky Okta Pradika, 25, memberitahu pemberita di Lembar bahawa dia sempat mengambil jaket keselamatan sebelum terjun ke laut bersama beberapa penumpang lain.
“Beberapa jam berlalu sebelum bantuan tiba,” katanya.

Hariyadi berkata penumpang dipindahkan menggunakan sekurang-kurangnya tiga kapal, termasuk kapal tentera laut dan sebuah lagi feri yang segera datang membantu pada awal pagi.
Kapal mencari dan menyelamat berada di lokasi kejadian, manakala sebuah helikopter menjalankan pemantauan dari udara.
Hariyadi sebelum itu berkata tiada lagi penumpang atau kru berada di dalam feri yang terbakar itu. Setakat ini, tiada maklumat segera mengenai mangsa yang cedera atau masih hilang.
Lima orang maut minggu lalu selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran pulau Jawa.

Kemalangan laut sering berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan banyak bergantung pada pengangkutan air untuk pergerakan harian serta sektor pelancongan.
Piawaian keselamatan yang longgar dan keadaan cuaca yang sukar diramal menjadi antara punca utama kejadian berkenaan.
Bulan lalu, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang karam ketika belayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Sulawesi.
Empat mayat ditemukan, namun operasi mencari dan menyelamat ditamatkan dengan 14 lagi individu masih secara rasmi dilaporkan hilang. – AFP




