TOKYO: Seorang maut dan sekurang-kurangnya 17 yang lain cedera dalam insiden letupan di sebuah restoran di bandar Koriyama di wilayah Fukushima, timur laut Jepun pada Khamis pagi, lapor agensi berita Xinhua, memetik pegawai bomba.
Menurut penyiasat letupan berlaku kira-kira 9.00 pagi waktu tempatan di sebuah restoran makanan “shabu shabu”.
Pegawai polis dan bomba mengatakan satu mayat ditemukan di lokasi kejadian, dua lagi cedera parah manakala 15 yang lain mengalami kecederaan ringan.
Restoran itu sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian ketika kejadian berlaku, dan penyiasat percaya letupan itu disebabkan kebocoran gas.
Beberapa jentera bomba dan ambulans dihantar ke tempat kejadian.- Bernama