SIBU: Program Senaman Warga Emas Siri Ke-6 Peringkat Bahagian Sibu 2024 telah melabuhkan tirainya dengan rasmi di Taman Trafik Rejang Park, hujung minggu lepas.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial, program ini bertujuan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan warga emas mendapat kesaksamaan sosial menerusi penglibatan mereka dalam aktiviti sukan dan kecergasan.
“Senaman yang berterusan dan berkala adalah penting untuk memelihara serta mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang baik bagi warga emas,” katanya.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terlibat, khususnya warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) serta komuniti setempat.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi untuk memupuk semangat perpaduan, meningkatkan kecergasan, serta menggalakkan penglibatan warga emas dalam aktiviti fizikal demi kesejahteraan mereka dan masyarakat secara keseluruhan,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting