KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan signifikan dalam mengimbangi antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar, kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar.
Katanya, hal ini kerana Sarawak juga tidak terkecuali daripada cabaran global yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.
”Justeru, NGO memainkan peranan yang semakin penting dan bertindak sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.
”Di samping memupuk semangat setiakawan, kebajikan, keselamatan komuniti dan pembangunan di kalangan ahli, NGO juga perlu inisiatif teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyampaikan geran peruntukan kewangan kepada 45 badan NGO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa di sini, baru-baru ini.
Antara NGO yang menerima geran tersebut termasuklah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina, Persatuan Alumni Sekolah Menengah Cina Bebas, gereja dan tokong.
Menjelas lanjut, katanya, usaha melindungi alam sekitar boleh bermula dengan langkah kecil dalam kehidupan seharian seperti mengurangkan sisa, menggalakkan penghijauan komuniti dan mengurangkan penggunaan tenaga.
Tambahnya, kerajaan Sarawak komited sepenuhnya untuk memacu pembangunan di negeri ini.
Bagaimanapun, tegasnya, usaha itu juga memerlukan sokongan kolektif dan kerjasama seluruh masyarakat bagi memastikan Sarawak kekal sebagai ’rumah’ yang sentiasa dibanggakan.