KELEGAAN bagi pihak pengurusan skuad Sarawak United FC (SU FC) apabila kesemua pemain, jurulatih dan pegawai disahkan bebas dari gejala virus berbahaya (Covid-19).
Perkara tersebut diakui Pengurus Pasukan, SU FC, Afiq Fikri Brahim selepas menerima keputusan ujian swab yang dilakukan disalah sebuah hosptital swasta semalam.
“Kita berasa lega apabila keputusan ujian swab yang diterima semalam mendapati kesemua pemain, jurulatih dan juga pegawai ‘negatif’. Dengan erti kata lain…mereka bebas dari gejala berbahaya itu,” ujar Afiq ketika mengulas mengenai perkara itu.
Apa pun tegas Afiq, keputusan tersebut sekali gus memberi bayangan kepada pihaknya untuk kembali menyambung latihan seperti biasa meskipun perlu menunggu perkeliling daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tambah Afiq, mungkin maklum balas daripada badan induk itu memakan masa beberapa hari dan beliau yakin sesi latihan akan dapat dijalankan dalam minggu ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, pasukannya perlu lebih fokus dalam menghadapi setiap perlawanan dilalui sebaik saingan Liga Premier 2020 disambung pada September nanti.
Menurut Afiq, mereka perlu mencatat keputusan positif jika mahu mengintai slot beraksi dalam kancah Piala Malaysia 2020.
“Saya melihat peluang tetap ada untuk kita bersaing dalam kancah Piala Malaysia 2020 nanti.
“Apa yang penting perlu meraih keputusan positif kesemua tujuh perlawanan yang bakal menanti kelak,” ujarnya.
Afiq percaya pengemudi pasukan (E.Elavarasan) pasti mempunyai pelan tersendiri bagi menghadapi situasi atau perlawanan sebenar.
Tujuh perlawanan menanti SU FC selepas ini, tiga aksi dilaman sendiri. Berbanding empat perlawanan yang akan berlangsung digelanggang lawan.
Oleh Faizal Bujang