SHEILA ZAIDI
GEDONG : Pengagihan bantuan makanan daripada kerajaan negeri untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong sedang dalam proses penghantaran ke 2,800 buah rumah.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata sebanyak 45 tan beras, dua tan gula pasir, 4.5 tan minyak masak serta barangan makanan asas lain akan diagihkan kepada penerima dalam masa terdekat.
“Bagi kawasan DUN Gedong, ini merupakan bantuan siri kedua. Bantuan kali pertama telah dihantar pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Untuk bantuan siri pertama itu, ia dilaksanakan atas initiatif Jawatankuasa Bencana Daerah Simunjan dan Pusat Khidmat DUN Gedong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Menurut Naroden, untuk bantuan yang kedua diagihkan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan DUN Gedong.
Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan supaya Jawatankuasa Bencana turut menyediakan stok bantuan bekalan makanan sebagai pelan sokongan bagi membantu mana-mana rumah yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.
Apa yang penting sekali ialah memastikan semua rumah atau keluarga tidak ketinggalan menerima bantuan itu, tegasnya.
Bantuan itu juga, katanya, diagihkan tanpa mengira latarbelakang sesebuah keluarga tersebut.
Naroden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong bersama wakil Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Nancy Syukri, yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong serta beberapa ahli Jawatankuasa Bencana Bahagian (JBB) dan Daerah Simunjan hadir bersama bagi menyaksikan proses penghantaran barangan itu semalam.