PETRA JAYA: Sembilan pelatih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak terpilih untuk menyertai Program Latihan Kemahiran Kompetensi Belia di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata program yang dibiayai bersama oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini bertujuan memperkasa belia secara menyeluruh, memberi mereka kemahiran yang relevan bagi menghadapi pasaran pekerjaan pada masa akan datang.
“Bagi fasa pertama program ini, kami menghantar sembilan pelatih baru yang terdiri daripada golongan B40, kerana ini adalah kumpulan yang menjadi fokus kami.
“Saya yakin program ini mampu memberi satu impak tinggi bukan pada diri mereka sendiri malah kepada keluarga mereka.
“Saya yakin akan ada lagi pengambilan seterusnya, sebab ini adalah permulaan, sekali gus kami memainkan peranan untuk membantu para belia.
“Selepas tamat program, peserta akan diberkan penempatan pekerjaan atau peluang keusahawanan, bergantung kepada kecenderungan dan prestasi mereka semasa latihan.
“Saya juga ingin mengingatkan belia di luar sana untuk meningkatkan diri dengan kemahiran tambahan dan tidak hanya bergantung kepada kelulusan SPM semata-mata. Dengan kemahiran yang digabungkan dengan pencapaian akademik, mereka dapat mencapai kejayaan lebih besar dalam hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan pelatih DUN Jepak untuk Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia tajaan MEITD dan CIDB Malaysia di sini hari ini.
Kesemua sembilan pelatih baru itu akan mengikuti kursus kemahiran dalam bidang penyaman udara dan pengudaraan mekanikal.
Turut hadir, Pengarah CIDB Sarawak, Rosmen Ag Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia, Abdul Rahman Ahmad.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Gambar
Iskandar ketika beramah mesra dengan sembilan pelatih dari Jepak yanv baka menyertai Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia. Foto UKAS