KUCHING: Sarawak mencatatkan sembilan kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Kuching semalam menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak sebanyak 628 kes.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata daripada keseluruhan tersebut, dua adalah kes import melibatkan warganegara dari luar negara.
“Kes pertama merupakan perempuan warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Korea Selatan dan balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Julai serta transit di Kuala Lumpur untuk semalam dan disaring RTK Antigen dan didapati negatif.
“Kes balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 10 Julai lalu, kes tidak menunjukkan tanda dan gejala.
“Setibanya di Kuching, beliau telah dimasukkan di hotel untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari, dan telah disaring pada hari Ke-2 iaitu pada 11 Julai juga didapati negatif.
“Kes disaring (rT PCR) buat kali kedua pada hari ke-10, iaitu pada 20 Julai dan telah didapati positif Covid-19 pada 22 Julai 2020, beliau terus dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dengan pengesanan kontak dan siasatan lanjut masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut kenyataan itu, kes kedua adalah perempuan warganegara tempatan, pelajar di Kursk Medical University, RussiaKes yang balik ke Sarawak dari Rusia melalui London, UK ke KLIA pada 6 Julai 2020.
“Kes balik ke Sarawak melalui KIA, Kuching dan telah dimasukkan ke pusat kuarantin juga tidak menunjukkan tanda dan gejala.
“Pada 6 Julai, kes telah disaring menggunakan RTK Antigen di KLIA dan didapati negatif, 7 Julai iaitu pada hari-2, kes telah disaring tetapi keputusan adalah negative, namun disaring semula (rT PCR) pada hari-10 iaitu 18 Julai dan didapati positif Covid-19,” ujarnya.
Manakala menurut kenyataan itu terdapat empat kes positif baharu diperolehi daripada saringan pengesanan kontak rapat dalam kluster aktif di Sarawak.
“Satu kes merupakan warganeraga tempatan, ahli keluarga kepada kes Ke-602 iaitu kes indek Kluster Sentosa yang telah disaring (rT PCR) pada 20 Julai dan telah didapati positif Covid-19 pada 21 Julai 2020, ia juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.
“Manakala tiga kes merupakan kes saringan kontak yang melibatkan Kluster Pasar Stutong yang menjalani saringan pada 20 Julai dan ujian saringan ujian rT-PCR Covid positif pada 22 Julai 2020 melibatkan semua wargenegara tempatan,” jelasnya.
Sementara itu, satu kes positif telah dikesan melalui saringan rawak daripada guru yang balik dari bercuti iaitu seorang lelaki yang telah menaiki pesawat dari Kota Bahru ke KIA pada 4 Julai 2020.
“Ujian saringan kes pada 21 Julai di Klinik Kesihatan Kerajaan didapati positif Covid -19, kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan pengesanan kes yang mempunyai kontak rapat sedang dilakukan.
“Satu lagi kes positif melibatkan warganegara tempatan telah dikesan melalui pengesanan kontak rapat kepada kes Ke-587 iaitu kontak rapat yang menaiki pesawat yang sama dari KLIA ke KIA Kuching pada 15 Julai 2020.
“Satu kes lagi merupakan kontak rapat kepada kes yang telah dikenal pasti Covid -19 iaitu abang kepada kepada kes Ke-574 (kes Severe Acute Respiratory Infection-SARI) yang telah didapati positif Covid-19 pada 5 Julai 2020 dan kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah