PETRA JAYA: Mia Ghazali, adik kepada Johan Ghazali, berjaya menewaskan lawannya, Sarah Onca dari Johor, dalam Pertarungan Antarabangsa Profesional sempena Kejohanan Pertarungan Rentap yang berlangsung di Stadium Perpaduan, malam tadi.
Mia meraih kemenangan selepas mengharungi tiga pusingan penuh dalam kategori 42 Kilogram (KG), sekali gus menempatkan dirinya sebagai salah satu bintang baharu dalam sukan tempur ini.
Menurut Mia, beliau meluahkan rasa lega dan gembira dengan kejayaannya pada perlawanan tersebut.
“Saya berasa sangat gembira dan lega kerana tekanan telah hilang (selepas dinobatkan sebagai pemenang).
“Saya telah berlatih keras setiap hari, termasuk berlari sejauh 12 Kilometer (KM).
“Terima kasih kepada semua yang datang dan menyokong kejohanan ini. Saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memenangi perlawanan tersebut, malam tadi.
Apabila ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Mia menjelaskan bahawa fokusnya kini lebih kepada pelajaran.
“Buat masa ini, tiada perancangan untuk pertandingan seterusnya. Saya sedang fokus belajar.
“Namun, saya merancang untuk menyertai pertandingan antarabangsa pada masa hadapan, mungkin satu hari nanti. Saya mengambil langkah perlahan-lahan,” katanya.
Dalam pada itu, kejohanan bertaraf antarabangsa ini turut menyaksikan Gredel dari Singapura berjaya menewaskan Mei Yee dari Malaysia dalam bagi kategori 55KG, manakala kategori 60KG, Mohammad Izzat dari Sarawak menguasai gelanggang dengan aksi bertenaga, menumpaskan Aiman Buakaw dari Pulau Pinang.
Selain itu, bagi kategori 70KG, Kaden Kutzer dari Kanada memukau penonton dengan dominasi hebat menewaskan Nasir Khan dari Malaysia, manakala dalam kategori 67KG, Toby dari Jerman cemerlang menewaskan Majik dari Iran, menutup hari pertama kejohanan dengan penuh bergaya.
Pada malam ini, petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai “Kilat Boy”, akan bertarung dengan peninju dari Indonesia, Boido Simanjuntak, dalam acara kemuncak ‘Malam Antarabangsa Super Pro’.
Pada masa sama, kejohanan malam ini juga bakal menawarkan dua tali pinggang profesional WBC Muay Thai untuk kategori wanita ‘mini flyweight’ dan lelaki ‘bantamweight’.
Oleh Mohd Neenatul Aizal