LIVERPOOL: Michael Carrick menyifatkan permulaan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini tidaklah “teruk”, meskipun pasukannya melepaskan dua gol pada penghujung perlawanan ketika seri 2-2 menentang Everton pada awal pagi tadi.
The Red Devils dilihat mendapat laluan awal yang agak mudah ketika berdepan pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana, Hull dan Ipswich, sebelum bertandang ke Stadium Hill Dickinson.
Namun, United hanya mengutip empat mata daripada tiga perlawanan pertama.
“Tidaklah teruk,” kata Carrick. “Kami hampir membawa pulang tiga mata hari ini. Itulah bola sepak. Ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik, tetapi kami akan baik-baik sahaja.”
United menggunakan sebahagian besar bajet perpindahan yang terhad untuk memperkuatkan bahagian tengah menerusi tiga pemain baharu yang ditandatangani Carrick.
Bagaimanapun, hanya Youri Tielemans diturunkan dalam kesebelasan utama bagi dua perlawanan terakhir, manakala Andrey Santos diletakkan di bangku simpanan dan Carlos Baleba diketepikan akibat kecederaan.
Keputusan untuk tidak memperkuatkan barisan pertahanan yang semakin berusia itu mungkin membawa padah apabila United sudah melepaskan dua gol dalam setiap tiga perlawanan setakat ini.
Ujian lebih getir turut menanti apabila Manchester City menjadi lawan seterusnya dalam Liga Perdana, dengan perlawanan berlangsung di Old Trafford hujung minggu depan.
Dua kali United kelihatan berada di landasan untuk meraih tiga mata di Merseyside.
Bryan Mbeumo membuka jaringan sejurus selepas separuh masa kedua bermula sebelum Benjamin Sesko meletakkan United di depan sekali lagi pada minit ke-88.
Namun, United gagal mempertahankan kelebihan itu apabila rembatan kencang Tyrique George dan Ainsley Maitland-Niles memastikan Everton yang ketandusan pilihan di bahagian serangan memperoleh satu mata.
“Sudah tentu kami tidak boleh mengabaikannya,” kata Carrick. “Kami perlu mengurangkan jumlah gol yang dibolosi untuk meningkatkan peluang memenangi perlawanan, dan kami pasti akan meneliti perkara itu serta terus melakukan penambahbaikan.

“Saya fikir ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki sebagai sebuah pasukan. Dua gol itu datang menerusi rembatan dari jarak jauh, dua rembatan yang sangat baik daripada mereka. Kadangkala rembatan seperti itu memang menerjah penjuru atas gawang, tetapi lebih kerap daripada tidak, ia mungkin tidak menghasilkan gol.”
Satu perkembangan positif buat Carrick ialah prestasi Marcus Rashford sejak kembali ke kelab itu.
Karier Rashford bersama United sebelum ini dilihat sudah berakhir selepas dia tidak lagi mendapat tempat di bawah kendalian bekas pengurus Ruben Amorim, yang menyaksikannya dipinjamkan ke Aston Villa dan Barcelona dalam dua musim lalu.
“Dia melakukannya dengan sangat baik sejak kembali. Dia kelihatan sangat cergas sekali lagi hari ini dan berbahaya,” kata pengurus United itu.
“Peluang terakhir itu tidak memihak kepadanya, tetapi saya fikir dia mencipta peluang yang sangat baik dan memberikan ancaman besar sepanjang perlawanan.” – AFP



