VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kini telah menjadi figura penting dalam kalangan penduduk Malaysia dalam memerangi penularan pandemik COVID-19.
Ia terbukti apabila penduduk Malaysia menerusi media sosial mengucapkan selamat hari lahir kepada figura penting berkenaan yang kini sudah pun mencapai umur 57 tahun pada 21 April lepas.
Penduduk Sarawak juga tidak melepaskan peluang untuk berbuat demikian apabila seorang guru di sini iaitu Jones Mackean bersama rakan-rakannya bertindak mengucapkan selamat hari lahir kepada Noor Hisham.
Rakan-rakan guru tersebut termasuklah Christin Victoria (Sri Aman), dan Ivan Gordon (Kuching), Najihah Bohari (Kuching), Gideon Junau Gerald (Samarahan), Carlos Michael (Betong) dan Sarjan Gabriel Katang (Kuala Lumpur).
“Saya bersama rakan-rakan yang lain telah bertindak bergabung untuk menghasilkan satu video secara bersama sebelum ia dimuat naik ke laman web Faceboook untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada hero negara kita.
“Selain bagi tujuan ucapan hari lahir, video ini juga secara tidak langsung menunjukkan penghargaan kami kepada Noor Hisham yang tidak pernah jemu menyampaikan berita berkaitan Covid-19 kepada rakyat di negara ini dari masa ke semasa,” kata Jones.
Beliau juga berpendapat bahawa Noor Hisham wajar diangkat sebagai figura penting kerana sentiasa berperanan sebagai seorang ayah yang sentiasa menasihat rakyat dalam mengharungi pandemik Covid-19 di negara ini.
Lagi pun Noor Hisham katanya lagi sentiasa bekerja keras bersama para petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 serta menyalur maklumat terkini pandemik berkenaan kepada rakyat pada setiap masa.
“Adalah tidak salah juga jika kami menganggap bahawa Noor Hisham adalah seorang adi wira yang berdedikasi serta rendah diri dalam melaksanakan tugas namun pada masa yang sama tegas dalam menyampaikan pesanan berkaitan Covid-19 kepada rakyat di negara ini.
“Justeru sebagai tanda penghargaan maka kami ingin mengajak semua rakyat agar sentiasa patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rajin mendengar saranan Noor Hisham dalam mengekang penularan pandemik ini di kawasan kita kelak,” kata Jones.
Beliau bersama kumpulannya juga mengajak rakyat untuk terus berkerjasama dengan kerajaan berhubung perkara ini demi tidak mensia-siakan pengorbanan para petugas bahagian hadapan yang kini berjuang memerangi Covid-19 demi keselamatan mereka di negara ini.