
SIBU: Sektor swasta diseru agar memainkan peranan aktif dalam merangsang pertumbuhan ekonomi Sibu serta menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata kejayaan mencapai matlamat tersebut sangat bergantung kepada kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
“Kerajaan amat mengalu-alukan pelaburan daripada sektor swasta. Perkongsian awam-swasta adalah kunci utama bagi merealisasikan matlamat pembangunan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan galeri jualan baharu Ibraco di Jalan Tong Sang, hari ini.
Tiang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, menyifatkan pembukaan galeri jualan oleh pemaju hartanah Ibraco Berhad sebagai satu langkah tepat sejajar dengan perancangan pembangunan semula bandar Sibu.
“Saya telah berbincang dengan pihak Ibraco sejak dua tahun lalu dan menggalakkan mereka menilai potensi pembangunan hartanah di Sibu. Saya gembira mereka kini mengambil langkah berani ini,” ujarnya.
Beliau menyifatkan kemasukan Ibraco ke pasaran hartanah Sibu sebagai satu “permulaan yang sangat baik” dan menyeru lebih banyak pemaju hartanah yang berdaya saing untuk mempertimbangkan pelaburan di bandar ini.
“Sibu memiliki potensi besar kerana kedudukannya sebagai bandar utama di zon tengah Sarawak. Saya percaya keputusan Ibraco adalah satu langkah yang bijak,” katanya.
Tambah beliau, antara inisiatif utama yang dijangka merancakkan ekonomi setempat adalah Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek – salah satu projek mega di bandar itu.
“Beberapa fasa pelaksanaan projek tersebut dijadualkan bermula tahun ini.
“Sibu adalah sebahagian penting dalam wawasan pembangunan Sarawak, dan kami komited untuk memastikan ia berkembang seiring dengan negeri secara keseluruhan,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Ketua Pegawai Pemasaran Ibraco Berhad, George Ting.
Oleh Akun Giman