KUALA LAWAS: Sektor berasaskan pertanian, ternakan dan perikanan adalah antara nadi penting pembangunan ekonomi Sarawak.
Sehubungan itu, peruntukan dari Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pembangunan pertanian di Daerah Lawas pada Tahun 2020 adalah berjumlah RM 8,267,514.
Ia meliputi peruntukan Normal Skim di bawah program tanaman, perikanan darat, agromakanan, infrastruktur ladang serta tanaman industri dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM5,444,514.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan perkara ini ketika merasmikan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) dan Majlis Penyerahan Enjin Motor Sangkut Daerah Lawas di Dewan Masyarakat Kampung Noor Islam Kuala Lawas, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri turut memberitahu, Program Fasilitasi Pertanian (AFF) dan juga NRDA telah memperuntukan dana sejumlah RM 2,820,000 bagi pembangunan pertanian yang melibatkan seramai 2,356 peserta di Daerah Lawas.
Bagi kawasan Bukit Sari Daerah Lawas, peruntukan keseluruhan tahun 2020 adalah berjumlah
RM 6,767,514 yang merangkumi Program Normal Skim (tanaman, perikanan darat, agromakanan, insfrastruktur ladang serta tanaman industri).
Jumlah peserta yang menerima insentif peruntukan pertanian ini adalah seramai 720 orang.
Manakala, di bawah Program Fasilitasi Pertanian (AFF) pula, nilai peruntukan berjumlah RM 1,0000,000 meliputi 473 peserta.
Selain itu, bagi peserta yang mengusahakan tanaman nenas dan juga ternakan lebah/kelulut kerajaan Negeri Sarawak turut menyalurkan dana insentif kepada peserta kita. Peruntukan tersebut dikendalikan oleh NRDA dengan jumlah peserta seramai 25 orang.
Oleh itu, seramai 1,218 orang yang akan menerima bantuan peruntukan tersebut.
Bagi kawasan Kuala Lawas dan Merapok sahaja, peruntukan keseluruhan adalah berjumlah RM 1,795,850 yang merangkumi Normal Skim dengan nilai bantuan RM 1,067,175 dan Program Fasilitasi Pertanian (AFF) serta di bawah kendalian NRDA dengan nilai peruntukan berjumlah RM 728,675. Jumlah kesemua peserta yang menerima insentif ini adalah 472 orang.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memaklumkan semua peserta yang hadir bahawa sejumlah RM 219,100 insentif akan diberikan kepada penerima, semalam.
Ia terdiri daripada 109 peserta yang akan menerima bantuan di bawah Program Fasilitasi Pertanian (AFF), lapan penerima insentif di bawah Projek Tanaman Kelapa, enam peserta daripada insentif projek agromakanan serta selebihnya seramai 77 peserta sebagai penerima di bawah bantuan perikanan darat.
Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berusaha untuk memastikan agar pembangunan pertanian di Sarawak khususnya Daerah Lawas selari dengan Bahagian – Bahagian lain di seluruh Sarawak.
Oleh demikian, inisiatif kerajaan juga dalam membangunkan modal insan kepada seluruh warga tani dalam memberikan kursus dan latihan serta menyalurkan ilmu pengetahuan baru kepada semua.
Sejumlah RM 120,000 nilai peruntukan akan diguna pakai bagi tujuan program latihan modal insan seperti AgriCOP.
Program ini akan diadakan berterusan sehingga selesai di seluruh Daerah Lawas mengikut kawasan ADUN.
Oleh Adeng Edrus