KUCHING: Pembinaan sekolah antarabangsa (SIS) di Sarawak adalah sebagai permulaan bagi kerajaan negeri melatih pelajar dengan keperluan masa hadapan terutamanya berasaskan teknologi.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan sekolah antarabangsa itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini ke peringkat antarabangsa.
“Kita harus melatih pelajar sesuai dengan keperluan masa depan dan berdasarkan teknologi dan atas sebab itu kerajaan negeri membina sekolah antarabangsa kerana mendapati pelajar dari sekolah antarabangsa selalunya berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada upacara Pecah Tanah Tapak Projek Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.
Menurutnya, pembinaan sekolah antarabangsa itu juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak mengatasi dilema tenaga kerja dihadapi industri di negeri ini.
“Sarawak ketika ini berdepan masalah mengambil tenaga kerja yang benar-benar berkebolehan dan masalah ramai anak tempatan sungguhpun merupakan graduan universiti tetapi kelayakan tidak memenuhi keperluan industri.
“Contohnya penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah dan ini adalah antara sebab mereka tidak diambil bekerja dalam industri berkaitan.
“Dengan adanya sekolah antarabangsa ini, ia akan dapat melatih selain menyediakan generasi muda negeri ini dalam jurusan yang sesuai dengan peredaran zaman yang berkisar kepada teknologi kerana masa hadapan negara maju bergantung kepada teknologi,” jelasnya.
Beliau yakin sekolah antarabangsa negeri itu bakal dapat melahirkan pelajar Sarawak yang mampu berdiri sama tinggi serta bersaing di peringkat dunia.
Tambahnya, sekolah tersebut akan menyediakan 80 hingga 100 peratus kemudahan asrama yang membolehkan pelajar tinggal di sekolah kerana menurutnya pelajar yang tinggal di asrama mempunyai disiplin diri yang lebih tinggi.
Oleh Zarina Abdullah