BETONG: Sekeluarga terkejut setelah rumah yang mereka diami selama ini di Kampung Buda, Spaoh dekat sini runtuh secara tiba-tiba, petang semalam.
Bagaimanapun, mereka selamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata, kejadian rumah runtuh itu dipercayai telah berlaku sekitar jam 1 petang.
“Rumah berkenaan telah dihuni oleh sebuah keluarga yang terdiri daripada dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Ketika berlaku kejadian, semua penghuni tidak berada di rumah. Apabila pulang, mereka terkejut mendapati rumah telah runtuh dan segera melaporkan perkara ini kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong,”katanya.
Bertindak atas panggilan, pihaknya menurut Siti Huzaimah segera bertindak dengan menghantar sepasukan anggota APM Betong ke kediaman keluarga pengadu untuk memantau kejadian tersebut.
Setibanya di lokasi berkenaan, anggota APM Betong katanya mendapati rumah yang didiami keluarga mangsa itu terdiri daripada 90 peratus struktur kayu dan 10 peratus struktur konkrit pada bahagian tandas.
“Hasil siasatan anggota kami mendapati struktur kayu yang sudah reput tidak dapat lagi menampung beban struktur konkrit pada bahagian tandas kediaman keluarga itu hingga menyebabkan ia runtuh.
“Kejadian ini meliputi keluasan 15 kaki persegi dalam rumah mangsa dan menjejaskan bahagian siling dapur dan dinding bilik tidur serta merosakkan bilik tandas mereka,” katanya.
Beliau berkata semua keluarga mangsa buat masa kini tinggal buat sementara waktu di rumah saudara terdekat dan pihak APM bertindak memasang tali tali sawar-sawar sekeliling lokasi kejadian.
“Keluarga mangsa telah dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan kejadian memandangkan risiko runtuhan masih boleh berlaku dan mengancam keselamatan diri mereka sendiri.
“Kami juga mahu orang ramai agar sentiasa meneliti keadaan struktur rumah jika ia sudah lama dan mempunyai campuran struktur kayu dan konkrit bagi mengelak berlaku kejadian seperti ini terhadap mereka,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG