
MANCHESTER: Manchester City kembali menguasai perlumbaan kejuaraan selepas menang 2-1 ke atas Arsenal di Stadium Etihad, sekali gus memberi tamparan hebat kepada impian The Gunners menamatkan kemarau gelaran.
Skuad kendalian Mikel Arteta masih mendahului carta buat masa ini, namun prestasi hambar — hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir — membuka ruang besar buat City yang memiliki kelebihan satu perlawanan.
Arsenal sebelum ini hanya tewas tiga kali dalam 49 perlawanan musim ini, namun kini dilihat semakin goyah apabila mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam saingan domestik dan berdepan risiko menamatkan musim tanpa trofi.
Senario ini mengimbau kembali kekecewaan lalu apabila Arsenal sekadar muncul naib juara dalam tiga musim terakhir, termasuk dua musim di mana mereka dipintas oleh skuad kendalian Pep Guardiola pada saat akhir.
Sekali lagi City mempamerkan momentum terbaik ketika detik penentuan, berbeza dengan Arsenal yang kehabisan tenaga di penghujung musim.

Guardiola kini mencatat 31 kemenangan daripada 39 perlawanan Liga Perdana pada bulan April, ketika beliau memburu gelaran ketujuh sepanjang tempohnya di Manchester.
Sebaliknya, Arteta hanya merekodkan 11 kemenangan daripada 27 aksi liga pada bulan sama.
Arteta menegaskan nasib tidak menyebelahi pasukannya dalam perlawanan sengit itu.
Arsenal tetap memberi tentangan sengit walaupun ketinggalan hasil jaringan pembukaan Rayan Cherki.
Kai Haverr segera menyamakan kedudukan selepas menekan kesilapan Gianluigi Donnarumma.
Namun, beberapa peluang keemasan gagal disempurnakan termasuk percubaan Eberechi Eze yang terkena tiang serta tandukan Gabriel Magalhaes yang turut dinafikan.
Havertz menjadi watak malang apabila mensia-siakan dua peluang terbaik, termasuk situasi satu lawan satu dan tandukan pada masa kecederaan.
Arteta jelas kecewa apabila dilihat jatuh berlutut di kawasan teknikal.
Selepas dilanda kecederaan panjang, Havertz diturunkan penuh, manakala Viktor Gyokeres hanya dimasukkan pada minit akhir walaupun merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 18 gol musim ini.
Arteta mengakui ketajaman City menjadi pembeza utama.
“Dalam dua kotak penalti itulah bezanya. Penyudah mereka lebih tajam,” katanya.
Bagi Guardiola, kehadiran penyerang bertaraf dunia seperti Erling Haaland sekali lagi menjadi penentu apabila beliau menjaringkan gol kemenangan — gol ke-47 musim ini untuk kelab dan negara.
Bekas kapten Arsenal, Patrick Vieira, turut mempersoalkan kekuatan mental The Gunners yang dilihat semakin tertekan dalam saat genting. – AFP