
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini mengorak langkah proaktif untuk memacu prestasi atlet para negara menerusi perluasan inovasi teknologi sukan berteraskan kepakaran penyelidikan universiti berkenaan.
Naib Canselor UMPSA Prof Dr Yatimah Alias berkata fokus terhadap arena paralimpik itu selaras dengan kewujudan Pusat Inklusif di universiti berkenaan yang komited dalam menjalankan pelbagai penyelidikan khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata inisiatif strategik itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari baru-baru ini, yang menyambut baik potensi teknologi sukan dalam memberikan nilai tambah kepada prestasi atlet istimewa negara.
“Saya berkesempatan berjumpa Menteri Belia dan Sukan pada satu majlis dan berbual beberapa perkara termasuk tentang penyelidikan paralimpik dengan respons sangat positif dan meminta kami untuk memberi kertas cadangan atau kertas kerja lebih spesifik.
“Insya-Allah kita akan rancang untuk berjumpa Menteri Belia dan Sukan sendiri bagi berkongsi apakah kekuatan penyelidikan UMPSA tentang inisiatif tersebut,” katanya selepas menjadi tetamu Bernama Radio dalam segmen Jendela Fikir: Inovasi UMPSA Tingkat Sukan Sepak Takraw Negara.
Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi Teknologi Sukan (STIC) UMPSA Prof Madya Dr Mohd Hasnun Arif Hassan berkata pihaknya masih menunggu maklum balas Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengenai mesin RimauStrike yang baru-baru ini diperkenalkan, bersempena dengan Majlis Pelancaran Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur.
Beliau memaklumkan mesin tersebut telah mula diuji sejak Ramadan lepas bagi mengenal pasti sebarang kelemahan teknikal sebelum fasa penambahbaikan dilakukan secara berterusan.
“Pembangunan ini tidak akan terhenti di sini kerana input daripada penggunaan di lapangan diambil kira untuk kita menghasilkan versi ketiga atau keempat yang jauh lebih canggih pada masa hadapan.
“Selain PSM, Majlis Sukan Pahang turut menunjukkan minat terhadap teknologi ini bagi membantu sesi latihan atlet mereka,” katanya.
Beliau berkata RimauStrike dibangunkan bagi menyediakan satu sistem latihan yang lebih konsisten, berulang dan boleh dikawal.
Untuk rekod, UMPSA telah dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara berteraskan inovasi teknologi sukan sejak Oktober tahun lepas. – Bernama